Ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun negara, Brad Maloney melihat sepakan penalti yang diberikan kepada Vietnam serta kad merah diterima Hairiey Hakim Mamat menyukarkan anak buahnya untuk bangkit pada perlawanan malam tadi.
Skuad negara tumpas 0-2 pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan C sekali gus menamatkan saingan Piala Asia B-23 2022 di tangga terakhir tanpa sebarang mata berjaya dicatatkan apabila sebelum ini turut tumpas di tangan Korea Selatan dan Thailand.
Keputusan itu menyaksikan skuad negara menamatkan edisi kali ini tanpa sebarang kemenangan dan hanya menjaringkan satu gol ketika bertemu Korea Selatan dan dibolosi sembilan gol.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Lokomotiv itu menyaksikan Vietnam memperoleh dua jaringan pada separuh masa pertama menerusi Nham Manh Dung dan ketua pasukan, Hoang Viet Anh Bui.
Skuad negara bagaimanapun bertahan dengan baik untuk mengelakkan daripada terus dibolosi apabila beraksi dengan 10 pemain sejak dari awal separuh masa kedua.
“Ya, sudah tentu mengecewakan, kami tidak mendapat apa-apa [mata] daripada perlawanan ini,” ujar Brad Maloney bercakap dalam sidang media selepas perlawanan.
“Kami memulakan perlawanan dengan baik, menunjukkan sesuatu yang positif. Tetapi jelas sekali sepakan penalti dan kad merah pada lewat separuh masa pertama mengakibatkan kami mengalami kesukaran untuk bangkit pada perlawanan ini.”
“Jadi, ia sangat sukar buat para pemain saya tetapi kredit harus diberikan kepada pasukan Vietnam,” tambah Maloney lagi.
Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad B-23 negara di Uzbekistan melalui pautan dibawah.
Piala Asia B-23: Malaysia Tewas Lagi, Tamatkan Kempen Dengan ‘Tangan Kosong’
Piala Asia B-23: Jurulatih Korea Selatan Akui Malaysia Lawan Yang Sukar