Semalam, skuad bawah 18 tahun negara (B-18) melakukan kejutan terbesar apabila menewaskan pasukan pilihan, Australia dengan jaringan 3-0 pada perlawanan keempat kejohanan AFF B-18 di Vietnam.
Kemenangan itu turut melonjakkan kedudukan Malaysia di tangga teratas kumpulan B selepas mengumpulkan 9 mata hasil daripada 3 kemenangan ke atas Singapura (3-1), Kemboja (3-0) serta Australia (3-0).
Pengendali skuad itu, Brad Maloney, mengakui berpuas hati dan menyifatkan anak buahnya telah beraksi dengan lebih bagus berbanding ketika perlawanan pertama menentang Vietnam.
“Ia adalah persembahan yang sangat baik daripada pemain. Mereka beraksi lebih bagus dalam setiap perlawanan dan menggunakan peluang yang ada,” katanya dalam stadium astro.
Maloney turut memuji disiplin barisan pemain pertahanan dan menyifatkan anak buahnya bermain mengikut taktikal yang telah dirancang.
“Selepas mengkaji permainan Australia, kita tahu macam mana mereka bermain dan telah kenal pasti segala kelemahan serta kekuatan mereka.
“Hari ini, pemain beraksi mengikut strategi yang dirancang. Mereka memberi tekanan sejak awal permainan dan bermain seperti ketika latihan. Pujian harus diberi kepada pemain kerana mengikut arahan dengan baik,” jelasnya.
Sementara itu, penyerang muda negara, Luqman Hakim yang menjaringkan dua gol ke atas Australia melahirkan kesyukuran di atas kemenangan skuad negara dan ia memberi semangat tambahan kepadanya untuk melakukan yang terbaik pada perlawanan seterusnya.
AFFU18 2019
Video jaringan gol pertama oleh Luqman Hakim.#VocketFC #AFFU18 pic.twitter.com/mIGdD9vAiB
— VOCKET FC (@vocketfc) August 13, 2019
“Syukur Alhamdulillah kerana doa ibu bapa, para jurulatih dan semua rakyat Malaysia telah memberikan kejayaan kepada kami pada hari ini. Saya akan cuba lebih baik dalam perlawanan seterusnya.
“Saya dan pasukan ada kekuatan sendiri meskipun berdepan Australia. Tak kisahlah mereka kuat mana, kami tetap bermain dengan semangat tinggi” kata Lukman yang dipetik dalam Facebook Program Pembangunan Bola Sepak Malaysia (NFDP).
Selepas ini, Malaysia akan menentang Thailand pada hari esok dan memerlukan sekurang-kurangnya keputusan seri untuk mengesahkan tiket ke peringkat separuh akhir.