Bolton dengan mengejutkan ramai, telah menuntut pampasan daripada Barcelona untuk perpindahan Marcos Alonso.

Barcelona mungkin terpaksa membayar pampasan selanjutnya selepas kelab kedua tampil berhubung perpindahan bekas bintang Chelsea iaitu Marcos Alonso, menurut laporan di Sepanyol.

Alonso tiba di Camp Nou September lalu secara percuma, selepas kontraknya dengan Chelsea ditamatkan, dengan pertahanan Sepanyol itu di bawah kontrak dengan Barcelona sehingga 2024.

Bekas bintang Chelsea berusia 32 tahun itu dilaporkan mengambil potongan gaji yang besar untuk menandatangani kontrak dengan Barcelona di tengah-tengah masalah kewangan kelab La Liga itu yang tenat.

Bagaimanapun, kelab divisyen 4 Sepanyol, Union Adarve tampil ke hadapan bulan lalu dan menuntut bayaran €103,000 berhubung perpindahan Alonso dari Chelsea ke Barcelona.

Kerana menurut mereka, perpindahan Alonso ke Barcelona sebenarnya melibatkan pertukaran pemain dan bukannya percuma sepenuhnya.

Menurut laporan, Union Adarve mendakwa mereka mempunyai ‘bukti pertemuan’ antara Chelsea dengan Barcelona berhubung rundingan di antara dua kelab tersebut untuk Alonso.

Dan didakwa bahawa rundingan yang tersebut adalah sebahagian daripada perjanjian mereka dalam perpindahan Pierre-Emerick Aubameyang ke Chelsea pada 2022 dengan harga £10 juta.

Kelab itu mendakwa bahawa Alonso disertakan sebagai pakej tambahan dalam perjanjian itu. Dan yakin bahawa Alonso hanya dinyatakan pergi secara percuma untuk mengaburi La Liga.

Kerana Barcelona bergelut untuk mendaftarkan pemain yang bukan ejen bebas.

Alonso, yang mempunyai klausa pelepasan €50m termasuk dalam kontraknya, bermain untuk Union Adarve di peringkat remaja dan bekas pasukannya percaya mereka mempunyai kes yang kuat menentang Barcelona.

Kini, Mundo Deportivo melaporkan bahawa bekas kelab Alonso, Bolton kini telah tampil dan menuntut pampasan atas ‘hak pembangunan latihan’ pemain itu.

Alonso bermain untuk Bolton dari 2010 hingga 2013 sebelum dia melengkapkan perpindahannya ke kelab Serie A Fiorentina, tetapi kelab Liga Satu Inggeris (divisyen ketiga England) itu percaya mereka ‘layak mendapat pampasan’ daripada Barcelona.

Akhbar Sepanyol itu menambah bahawa tidak jelas sama ada kes Bolton ada perkaitan dengan yang dibuat oleh Union Adarve.

Barcelona telah dilaporkan kepada FIFA kerana penipuan, dengan Dewan Penyelesaian Pertikaian organisasi bola sepak itu menerima aduan daripada Union Adarve mengenai perpindahan Alonso.