Ketua jurulatih KL City, Bojan Hodak menzahirkan rasa gembira di atas kejayaan skuad bimbingannya berjaya menamatkan penantian panjang selepas kelab tersebut berjaya mara ke saingan suku akhir TM Piala Malaysia 2021.
Pengendali kelahiran Zagred, Croatia itu juga dalam masa yang sama turut mengharapkan pencapaian manis tersebut mampu menjadi motivasi tambahan buat pemain-pemain.
“Sememangnya satu perasaan yang istimewa berjaya membawa KL City ke suku akhir kerana kita tidak pernah mara sejak dari tahun 1992 bagi mencapai peringkat ini.”
“Ini sememangnya satu perkara yang positif buat pasukan bagi saingan Piala Malaysia namun saya jangkakan persaingan semakin mencabar bagi peringkat seterusnya.”
“Sebelum kejohanan bermula, sememangnya tiada tekanan kepada kami kerana sasaran awal ialah untuk kekal di Liga Super dan kami berjaya melakukannya apabila berada di kedudukan keenam terbaik.”
“Kami berharap dapat lakukan sesuatu yang bermakna di suku akhir namun masih ada lagi satu perlawanan untuk dihabiskan iaitu bertemu Sri Pahang, pada aksi terakhir perlawanan di peringkat kumpulan,” tambah Bojan Hodak lagi.
KL City yang berada dalam kumpulan A mengesahkan tempat ke suku akhir selepas berjaya menundukkan Penang 1-0 hasil jaringan sepakan penalti pemain import Colombia, Romel Morales pada minit ke-38.
Kemenangan itu juga terus meletakkan KL City di tangga teratas kumpulan A dengan 11 mata hasil tiga kemenangan dan dua keputusan seri selepas mengharungi lima perlawanan untuk memiliki kelebihan satu mata di hadapan pencabar terdekat yang turut sudah mengesahkan tempat ke suku akhir iaitu Sarawak United.
Teruskan membaca artikel-artikel lain seperti dibawah.
Shahrel Fikri Tetap Berhati-Hati Meskipun Sudah Kembali Beraksi