Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Pablo Bidoglio tidak menafikan Muhamad Feroz Baharudin dan juga seorang lagi pemain muda K. Daryl Sham merupakan antara pemain berkualiti yang perlu dijaga oleh kelab tersebut.

Baca Juga:

Hal ini kerana pengendali kelahiran Rosario, Argentina itu melihat kedua-dua prospek tersebut mempunyai masa depan cerah berdasarkan prestasi yang dipamerkan oleh mereka pada ketika ini.

Namun, beliau enggan pemain yang turut membantu JDT II raih trofi Liga Premier itu selesa dan berpendapat Feroz dan Daryl Sham perlu bekerja lebih keras jika ingin terus berada dalam skuad utama.

“Mereka berdua adalah pemain yang penting yang perlu dijaga untuk kelab ini kerana bermain dengan baik setakat ini.”

“Tetapi jika ingin terus bermain untuk skuad utama JDT, mereka tidak boleh berhenti berusaha dan banyak benda yang masih perlu dilakukan oleh mereka.”

“Mereka juga berlatih dengan baik dalam setiap latihan dan sikap ini adalah baik untuk mereka memberikan sesuatu kepada kelab nanti”, tambah Hector Bidoglio lagi.

Dalam perkembangan sama, Feroz Baharudin menganggap peranan yang diberi untuk membarisi skuad utama perlawanan terakhir Liga Super menentang Sabah FC cukup besar dan tidak melepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada sejarah kemenangan JDT.

Beliau menyifatkan dirinya semakin selesa apabila berpeluang untuk bergandingan bersama pemain yang lebih senior dan usahanya itu membuahkan hasil apabila berjaya menembusi skuad utama dalam tiga perlawanan Liga Super, musim ini.

“Peranan saya sangat besar apabila dapat beraksi dalam kesebelasan utama malam ini (Sabtu) dan terima kasih kepada semua terutamanya TMJ (Tunku Mahkota Johor) yang memberi peluang kepada saya.”

“Alhamdulillah kami memperoleh kemenangan dan saya bersyukur dalam tiga perlawanan yang saya main dapat buat yang terbaik.”

“Apa yang penting saya lega apabila dapat membuktikan kemampuan dan sekarang pun sudah boleh menyesuaikan diri dengan pemain-pemain senior lain dengan baik,” jelasnya.