Wakil Thailand, BG Pathum United tekad buru tiga mata penuh apabila dijadualkan berdepan juara Liga Super 10 kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi kedua peringkat kumpulan AFC Champions League (ACL) malam esok.

Walaupun dilanda krisis kecederaan namun mereka tetap turunkan barisan terbaik yang terdiri daripada bintang Thailand seperti Chanathip Songkrasin, Teerasil Dangda dan juga penyerang skuad kebangsaan Uzbekistan, Igor Sergeyev.

“Kami mempunyai ramai pemain yang mengalami kecederaan dan akan lihat sama ada mereka bersedia untuk diturunkan. Sudah tentu ia sedikit menjejaskan rentak pasukan tetapi kami tiada pilihan lain.

“Kami akan susun barisan terkuat dalam misi untuk mendapatkan 3 mata. Sebahagian daripada pemain JDT pernah beraksi di Thailand.

“Saya rasa ia tidak memberi sebarang kesan kerana kebanyakan pemain kami sudah kenal mereka,” kata pengurus BG Pathum United, Surachai Jaturapattarapong.

Sementara itu, kapten pasukan, Sarach Yooyen berharap para penyokong BG Pathum United dapat memenuhi stadium untuk memberikan sokongan padu.

“Saya harap lebih ramai penyokong hadir di stadium malam esok kerana kita amat memerlukan tiga mata.

“Kami bermain di tempat sendiri, sudah tentu ia memberi kelebihan. Saya mahu ajak semua penyokong datang memberikan sokongan padu,” ujar Sarach Yooyen.

BG Pathum United kini berada di tangga ke-4 dalam carta Thai Premier League musim ini. Mereka tewas 1-3 ketika menentang Ulsan Hyunda pada aksi pertama ACL minggu lepas.

Perlawanan antara BG Pathum United menentang JDT pasti menjadi tumpuan peminat bola sepak Asia Tenggara kerana ia ibarat pertemuan ‘el-klasiko’ yang melibatkan pasukan terbaik dari Thailand dan Malaysia.

Antara pemain tempatan terbaik yang menjadi taruhan kedua-dua pasukan ini ialah Arif Aiman dan Chanathip Songkrasin.

Chanathip antara tonggak utama Kawasaki Frontale ketika membantu menewaskan JDT 5-0 dalam saingan ACL musim 2022 di Stadium Sultan Ibrahim.