Kelab Thai League 1, BG Pathum United menafikan dakwaan yang mengatakan mereka mahu mendapatkan khidmat penyerang import Johor Darul Ta’zim (JDT), Diogo Luis Santo.

Baru-baru ini, lamam media tempatan melaporkan BG Pathum bersedia untuk membawa masuk Diogo dan kelab itu dikhabarkan sanggup membayar gaji bulanan Diogo sebanyak THB4 juta sebulan atau RM548,000.

Diogo Luis Santo
Sumber Gambar: Goal.com

BG Pathum kemudiannya menafikan dakwaan tersebut dan menyatakan mereka tidak pernah menghubungu Diogo ataupun JDT sendiri mengenai perpindahan pemain itu.

“Dalam perihal Diogo, secara jujurnya tiada perbincangan yang dilakukan antara dua kelab bagi mendapatkan khidmat beliau.

“Pengerusi kelab, Pavin Bhirombhakdi tidak pernah mengadakan perbincangan dengan mana-mana pihak. Jadi, berita yang beredar adalah tidak benar.

“Pavin menganggap khabar angin ini sengaja dicipta oleh sesetengah ejen bagi mendapatkan perjanjian bersama pasukan seperti BG Pathum,” kata pengarah BG Pathum, Surachai Chaturaphatphong.

Diogo Luis Santo
Sumber Gambar: BG Pathum United

Ketika saingan Thai League 1 dihentikan seketika, BG Pathum berjaya mendapatkan khidmat pemain tengah berpengalaman Thailand, Sarach Yooyen dan bekas pertahanan Buriram United, Andrez Tunez.

Musim ini, juara Thai League 2 musim 2019 itu turut diperkuatkan oleh penyerang Malaysia, Norshahrul Idlan Talaha.

Baca artikel lain mengenai Diogo Luis Santo di sini:

Kelab Ternama Thai League Mahu Dapatkan Khidmat Diogo Luis Santo

Diogo Luis Santo Tersenarai Dalam 5 Pemain Terbaik Brazil Di Saingan Thai League

Media Thailand ‘Bersiul’ Kaitkan Diogo Dengan Perpindahan Ke BG Pathum United, Gaji RM548k Sebulan?