Saingan Liga Malaysia musim 2023 bakal bermula dalam hitungan beberapa minggu sahaja lagi dan pemain naturalisasi negara, Guilherme De Paula berkemungkinan besar bakal mewarnai saingan Piala MFL 2023.

Baca Juga:

Baru-baru ini, pengelola Liga Malaysia, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah membuat undian bagi saingan Piala MFL dimana 15 pasukan dibahagi kepada dua kumpulan dan kelab De Paula iaitj Johor Darul Ta’zim (JDT) diletakkan dalam kumpulan A.

JDT ketika ini dianggap mempunyai barisan serangan terkuat berdasarkan rekod yang telah ditampilkan sejak dua musim kebelakangan ini dimana pemain seperti Bergson Da Silva, Fernando Forestieri, Syafiq Ahmad, Arif Aiman serta rekrut baharu, Diogo Luis Santo bakal mengisi jentera serangan pasukan.

Bergson, Arif dan Forestieri hampir pasti untuk mengisi kesebelasan utama manakala Syafiq dan Diogo bakal bersaing untuk cuba menambat hati pengurus pasukan, Esteban Solari.

Lima pemain di atas mempunyai rekod yang memberangsangkan baik dari segi jaringan mahupun minit permainan bersama skuad senior musim lalu dan situasi ini berbeza dengan De Paula.

Guilherme De Paula
Sumber Gambar: PFAM (Aremilworks)

Sekiranya pemain ini kekal bersama JDT sehingga jendela perpindahan pertama ditutup pada bulan ini, maka satu-satunya peluang yang ada bagi Guilherme De Paula ialah beraksi dengan skuad B-23 Tahun dalam saingan Piala MFL.

MFL membenarkan tiga pemain import untuk didaftarkan dalam setiap hari perlawanan saingan Piala MFL namun hanya dua yang dibenarkan beraksi di atas padang.

“Setiap pasukan Liga Super akan dibenarkan untuk menyenaraikan lima(5) pemain lebih umur dalam Liga Simpanan tetapi hanya tiga (3) pemain lebih umur termasuk import (maksimum dua (2) pemain) dibenarkan beraksi di atas padang bagi menjamin minit permainan untuk sekurang-kurangnya lapan (8) pemain tempatan B-23 pada setiap masa.

“Slot lebih umur dan kelibat pemain import ini akan mengimbangkan dan meningkatkan penanda aras liga selain menjadi landasan buat pemain B-23 untuk menyesuaikan diri dengan jurang Liga Super.

“Ini juga membuka peluang kepada pasukan Liga Super untuk mengunakan Liga Simpanan sebagai platform pemulihan pemain senior ataupun memastikan pemain pasukan utama diberi peluang pengekalan prestasi,” tulis kenyataan rasmi MFL.