Pemain tengah Feyenoord, Orkun Kokcu nyata berpegang teguh dengan prinsip hidupnya apabila memilih untuk tidak memakai lilitan kapten pelangi ketika aksi Liga Eredivisie bertemu AZ Alkmaar, Ahad lalu.

Baca Juga:

Dipilih sebagai ketua pasukan pada perlawanan di gelanggang lawan itu, Kokcu bagaimanapun berkeras untuk tidak memakai lilitan pelangi tersebut kerana seperti diketahui ramai ia merupakan kempen kesedaran yang menyokong komuniti LGBTQ+.

Sebagai seorang yang beragama Islam, pemain berusia 21 tahun itu berpendapat dirinya amat tidak sesuai untuk mempromosikan perkara tersebut dan mahu pendiriannya dihormati semua pihak.

“Saya memutuskan untuk tidak memakai lilitan kapten pelangi pada perlawanan ini,” ujar Kokcu menurut laporan Sport Bible.

“Saya fikir adalah penting untuk menekankan bahawa saya menghormati semua orang tanpa mengira agama, latar belakang atau keutamaan. Saya percaya bahawa setiap orang bebas untuk melakukan apa yang mereka mahu atau rasa.”

“Saya memahami sepenuhnya kepentingan tindakan ini, tetapi kerana kepercayaan agama saya, saya tidak merasakan saya orang yang sesuai untuk menyokong perkara ini.”

“Sebab itu saya tidak selesa untuk memakai lilitan kapten ini. Saya dapat membayangkan sesetengah orang kecewa dengan ini. Itu sama sekali bukan niat saya, walaupu saya sedar bahawa saya mungkin tidak dapat menghilangkan perasaan itu dengan kata-kata saya ini.”

“Tetapi, saya harap pilihan saya atas sebab agama juga akan dihormati oleh orang ramai,” tambah Orkun Kokcu lagi.

Dengan keengganan Kokcu itu, lilitan kapten tersebut telah diberikan kepada pemain pertahanan tengah kelahiran Austria, Gernot Trauner.

Perkara tersebut jelas tidak langsung mengganggu Kokcu dimana beliau menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-31 yang menyaksikan kelab tangga ketiga itu mencatatkan kemenangan 3-1.

 

Sumber