Penyerang berbisa JDT, Bergson da Silva, melihat kemaraan ke perlawanan akhir TM Piala Malaysia 2022 menjadi kesempatan terbaik buat skuad Harimau Selatan memadam memori pahit apabila tewas kepada Kuala Lumpur City FC 2-0 pada aksi final tahun lalu.
Kehampaan pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2021 tidak mahu lagi dirasai Bergson yang sedia untuk memberikan segala-galanya bagi memburu kejuaraan treble musim ini.
Tambahnya, semangat berpasukan JDT berada di tahap tertinggi yang menyaksikan mereka mampu memperagakan aksi konsisten dalam tiap perlawanan.
“Kami berasa sangat gembira dengan kejayaan ini malah kami bermain seperti satu keluarga di atas padang dalam tiap perlawanan.”
“Pasukan perlu bersedia untuk perlawanan akan datang, semua orang tahu kesukaran aksi di akhir bagi memenangi trofi Piala Malaysia namun kami akan cuba.”
“Ini detik terbaik buat kami menebus terhadap apa yang terjadi musim lalu kerana kami tidak mahu kecewa dan menangis sekali lagi, jadi kami akan bekerja keras untuk aksi akhir ini,” katanya.
Bergson telah meledak enam gol setakat ini termasuk satu jaringan ketika membenam Sabah FC, 3-1 semasa separuh akhir kedua TM Piala Malaysia bagi membawa JDT mara ke perlawanan akhir dengan agregat 4-1.
Secara keseluruhan, prestasi Bergson di tahap yang menakjubkan apabila telah meledak 39 gol secara keseluruhan dengan 29 di Liga Super dan 4 di Piala FA.
Musim lalu, dia tidak dapat membantu JDT memenangi trofi TM Piala Malaysia buat kali ketiga walaupun JDT dilihat menjadi pilihan untuk muncul juara.
Berdepan Selangor FC pada 26 November ini, Bergson yakin ribuan penyokong JDT akan memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai pemain ke-12.
“Saya tahu penyokong JDT akan datang ke Bukit Jalil dan sentiasa berikan sokongan tidak kira kami bermain di mana sama ada tempat sendiri atau lawan.”
“Harap mereka akan terus bersama kami seperti perlawanan-perlawanan lain dan kehadiran penyokong sentiasa memberikan kami semangat untuk beraksi lebih baik,” katanya.