Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora mahu pasukannya mengekalkan momentum cemerlang apabila berdepan Pohang Steelers dalam perlawanan kumpulan G saingan AFC Champions League (AFC) musim ini.
JDT berada dalam prestasi terbaik setelah menewaskan Ratchaburi pada perlawanan kedua peringkat kumpulan minggu lalu dan Mora mahu anak-anak buahnya untuk melakukan perkara sama apabila berdepan wakil Korea Selatan itu malam ini.
“Motivasi adalah satu perkara yang penting dalam mana-mana pertandingan. Kami dalam situasi yang sangat baik, baik dari segi mental mahupun emosional kerana kami beraksi di satu peringkat yang baik. Kami tahu Pohang juga satu pasukan yang bagus dimana mereka beraksi di liga yang bagus seperti Liga Korea.
“Kami menjangkakan perkara sama seperti dua aksi sebelumnya dalam perlawanan menentang Pohang. Kami mahu meneruskan rentak terbaik dan cuba untuk menjalankan tugas dengan sebaik mungkin,” kata Mora.
Pohang Steelers mencatat kemenangan 2-0 pada perlawanan pertama sebelum tewas kepada Nagoya Grampus dengan keputusan 3-0 pada perlawanan kedua peringkat kumpulan. JDT pula tewas kepada Nagoya 1-0 dan kemudiannya menang ke atas Ratchaburi dengan keputusan 1-0.
JDT dan Pohang masing-masing mempunyai 3 mata dalam kumpulan G dan kemenangan akan memberikan tekanan kepada Nagoya yang sedang menjadi pendahulu dan kelab Jepun itu akan turun menentang Ratchaburi petang ini.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia di sini:
Jepun Ada 451 Pemain Di Serata Eropah, 250 Pemain Aktif Bermain Dalam Liga Bola Sepak Jerman.
Tottenham Hotspur Mulakan Perbincangan Untuk Dapatkan Takehiro Tomiyasu