Semalam, juara Liga Super 7 kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) gagal meneruskan rentak kemenangan selepas tunduk 1-4 di tangan Pohang Steelers pada aksi ketiga AFC Champions League (ACL) 2021 yang berlangsung di Stadium Rajamangala.
Dalam perlawanan itu, pengadil perlawanan dari Australia, Shaun Evans telah memberikan 4 sepakan penalti dan salah satu daripadanya terpaksa diambil semula kerana kesalahan yang dilakukan oleh penjaga gol JDT, Farizal Marlias.
Situasi itu turut mengundang pelbagai kecaman dan kritikan dalam kalangan penyokong JDT yang mempersoalkan mutu pengadilan pertandingan kelolaan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) itu ditambah pula dengan keadaan padang yang kurang memuaskan akibat hujan lebat.
Namun begitu, pengendali Harimau Selatan, Benjamin Mora dalam satu kenyataan rasmi menyifatkan situasi seperti itu tidak boleh dikawal dan pemberian sepakan penalti telah mengubah rentak permainan pasukan.
“Ada banyak perkara dalam bola sepak yang kita tidak dapat kawal. kita tidak dapat kawal cuaca, padang yang teruk, layangan kad seawal minit ketiga kepada pemain pertahanan tengah saya dan seumpamanya.
“Kami cuba mengawal permainan rentak perlahan Pohang Steelers kerana mereka menggerakkan bola dengan sangat perlahan, menanti saat tiba. Kami telah melaksanakan tugas dengan sangat baik, tetapi malangnya mereka diberikan dua tendangan penalti.
“Kami tidak dapat kembali walaupun kebanyakan masa menguasai bola pada babak kedua.
Kami mempunyai beberapa peluang dan kami tidak menyudahkannya. Tetapi pada saya perkara yang paling penting adalah usaha para pemain,” kata Mora.
A lot of things in football we cannot control… we cannot control the weather, bad pitch, early card in the third minute to my centreback and such.
[1/5] pic.twitter.com/YLXP5EjGTw
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) June 29, 2021
Selepas mengharungi 3 perlawanan, JDT sekali lagi akan bertemu Pohang Steelers pada 1 Julai ini dan ia merupakan perlawanan yang sangat penting untuk menentukan peluang mereka mara ke pusingan kalah mati.
Bagaimanapun, Mora mengesahkan terdapat beberapa pemain masih keletihan dan mereka kini sedang fokus pada aspek pemulihan untuk memastikan tahap kecergasan berada dalam keadaan terbaik.
“Saya perlu memantau pemain selepas hari ini kerana sudah tiga perlawanan yang memenatkan. Sebilangan besar dari mereka keletihan dan kami akan fokus pada pemulihan,” tambahnya.
Baca artikel lain mengenai perkembangan JDT melalui pautan dibawah.
JDT Nafi Tuduhan Mereka Punca Penurunan Prestasi Safawi Rasid
JDT Dedahkan Pelan Lantai Dan Reka Bentuk Pusat Latihan Baharu Yang Serba Canggih