Johor Darul Ta’zim (JDT) gagal meneruskan rentak kemenangan selepas tunduk 1-4 di tangan Pohang Steelers pada aksi ketiga Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (ACL) 2021 yang berlangsung di Stadium Rajamangala sebentar tadi.
Tiga sepakan penalti yang dihadiahkan pengadil dari Australia, Shaun Evans buat Pohang Steelers sudah pasti menjadi topik utama perbualan para penyokong pada perlawanan ini.
Kesilapan hantaran ke belakang dilakukan Leandro Velazquez hampir memakan diri pada minit ke-11 apabila penyerang utama Pohang, Boris Tashti mengambil kesempatan tersebut untuk meluru pantas ke kawasan penalti JDT.
Percubaan penyerang kelahiran Ukraine itu bagaimanapun berjaya dinafikan Farizal Marlias menggunakan kaki kirinya sekali gus menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi.
Leandro Velazquez menghadirkan kegembiraan buat kem JDT pada minit ke-17 apabila percubaannya membias terkena pemain pertahanan, Kwon Wan-kyu lalu gagal diselamatkan penjaga gol, Kang Hyeon-mu untuk membuka tirai jaringan.
Pemain import Argentina itu kemudiannya menjadi punca kepada sepakan penalti pertama yang dihadiahkan pengadil selepas beliau didakwa mengasari Goh Young-Jun dalam kawasan penalti.
Boris Tashti yang mengambil sepakan tidak berdepan masalah untuk menewaskan Farizal pada minit ke-27 untuk kembali mengikat kedudukan.
JDT terus dirundung malang apabila Pohang sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti selepas Mauricio melakukan terjahan terhadap Mario Kvesic walaupun keputusan tersebut menjadi pertikaian para pemain skuad Harimau Selatan.
Sepakan yang diambil ketua pasukan, Kang Sang-woo pada mulanya berjaya dinafikan Farizal tetapi penjaga gol berpengalaman itu dipersalahkan kerana terlebih dahulu keluar sebelum sepakan diambil memaksa sepakan perlu diambil sekali lagi.
Peluang kedua itu nyata tidak disia-siakan Sang-woo untuk meletakkan Pohang di hadapan pada minit ke-35.
Pohang kemudiannya menambah jaringan ketiga apabila Go Young-jun berjaya melepasi perangkap ofsaid dan kemudiannya memberikan ruang buat Kwon Gi-pyo untuk menolak mudah bola ketika perlawanan memasuki minit ke-82.
Tidak cukup dengan tiga jaringan tersebut, anak buah Kim Gi-dong mengesahkan kemenangan 4-1 menerusi satu lagi sepakan penalti yang diberikan dimana ia disudahkan oleh Lim Sang-hyeob pada masa kecederaan.
Kekalahan kedua yang dialami menyaksikan skuad bimbingan Benjamin Mora itu turun ke tangga ketiga, ketinggalan tiga mata di belakang wakil Korea Selatan tersebut.