Bekas ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora kembali menguruskan pasukan apabila beliau dilantik sebagai pengendali baharu kelab Liga Mexico, Atlas FC.

Baca Juga:

Kehadiran Mora ini diumumkan oleh pihak kelab menerusi laman media sosial rasmi pasukan dimana Mora menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh pengendali terdahulu, Diego Cocca yang meninggalkan Atlas FC beberapa hari lalu.

Benjamin Mora berpisah dengan JDT pada bulan Julai lalu dimana menurut pemilik kelab, Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ) mendedahkan faktor utama mengapa beliau melepaskan jurulatih berusia 43 tahun itu.

“Saya masih rapat dengan Benjamin Mora. Dia sudah lama berbincang dengan saya. Apabila dia rasa masa sudah tamat, apabila dia tidak dapat memberi komitmen sepenuhnya dan respon daripada pemain adalah lain terhadap dia, maka ia adalah masa yang sesuai untuk dia berhijrah.

“Kita sudah ada persetujuan dimana pasukan melepaskan dia kerana kita perlu seorang ketua jurulatih yang boleh menjaga kestabilan pasukan.

“Pemain perlu seorang jurulatih yanh boleh memberikan arahan, hormat dan juga menjaga kestabilan bilik persalinan,” kata TMJ.

Sepanjang mengendalikan pasukan, Benjamin Mora merupakan jurulatih JDT yang paling berjaya dengan empat kejuaraan Liga Super Malaysia, empat Piala Sumbangsih, satu Piala Malaysia dan turut membawa pasukan tersebut ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara AFC tahun ini.

Beliau telah mengendalikan sebanyak 148 perlawanan sepanjang dua kali menggalas tugasan sebagai jurulatih JDT sejak 2017, dan memenangi 102 perlawanan. Satu pencapaian yang baik oleh jurulatih dari Mexico itu.

Atlas FC sebelum ini pernah muncul juara saingan Liga MX Apertura musim 2021 dan Liga MX Clausura pada musim 2022. Kejayaan menjulang trofi bagi saingan liga utama itu adalah yang pertama selepas kali terakhir kelab ini menjuarainya pada musim 1950-51.

Namun begitu, saingan Liga MX Apertura musim 2022 menyaksikan Atlas serba tidak menjadi dimana mereka ketioa ini berada di tangga kedua tercorot. Situasi ini menjadikan Diego Cocca hilang jawatannya sebagai ketua jurulatih pasukan.