Pengurus Manchester City, Pep Guardiola memberikan komen tentang kehebatan berterusan Cristiano Ronaldo walaupun sudah berusia 36 tahun.
Pep Guardiola berkata Cristiano Ronaldo sentiasa akan menjaringkan gol apabila dia berusia 75 tahun. Guardiola hampir sahaja mendapatkan khidmat Ronaldo musim ini sebelum dipintas oleh Man United.
Ronaldo menyertai semula Man Utd pada musim panas ini, kembali ke kelab itu selepas lebih sedekad meninggalkan kelab itu, dan dia bersedia untuk mengetuai barisan serangan pasukan Red Devils dalam perlawanan derbi Manchester hujung minggu ini.
Ronaldo masih berada dalam prestasi terbaik untuk Man Utd musim ini pada usia 36 tahun, setelah menjaringkan beberapa gol penting untuk pasukannya sejak tiba di kelab tersebut.
Guardiola berkata: “Dia akan menjaringkan gol sepanjang hidupnya.”
“Dia akan menjaringkan gol walaupun dia nanti berusia 75 tahun, mungkin dah bersara, tetapi dia akan berada di ruang barbeku dia sendiri bermain bola dan dia akan menjaringkan gol.”
“Pemain ini adalah sama seperti [Lionel] Messi. Apa yang telah mereka lakukan dalam dekad terakhir dalam bola sepak dunia menjaringkan gol dan gol dan gol serta membantu pasukan mereka menang, itu telah ‘bercakap’ untuk dirinya sendiri.”
Pep Guardiola on CRISTIANO:
"He will score goals all his life, he will be seventy five years old maybe retired but he would play at his own BBQ and score goals. Cristiano belongs to Manchester United, United belong to Cristiano Ronaldo."pic.twitter.com/UHyHkXanko
— The CR7 Timeline. (@TimelineCR7) November 5, 2021
“Ia bagus untuk Liga Perdana Inggeris apabila dia kembali. United milik Cristiano dan Cristiano milik United. Ia sesuai. Ia pada masa lalu. Mungkin ia akan berlaku pada masa kini dan pada masa akan datang. Kita lihatlah nanti.”
Ketika Ronaldo menyatakan mahu meninggalkan Juventus, laporan mengaitkannya bintang Portugis itu dengan beberapa kelab, terutamanya Manchester City.
Pada hari-hari terakhir jendela, nampaknya Manchester City mendahului perlumbaan untuk menandatangani Ronaldo, sehinggalah Manchester United masuk dalam persaingan dan menandatangani semula penyerang itu untuk membawanya kembali ke Old Trafford.
Bos Man Utd, Ole Gunnar Solskjaer berkata, dia tidak dapat membayangkan Ronaldo, yang juga bekas rakan sepasukannya di Man Utd, memakai baju biru Manchester City.
Guardiola pula kelihatan tersipu sipu apabila ditanya sama ada perjanjian untuk mendapatkan penyerang itu benar-benar hampir.
“Anda perlu bertanya kepada mereka,” kata Guardiola.
“Ole berkata bahawa dia tidak dapat membayangkan dia berada di sini. Anda perlu bertanya kepada mereka. Adakah anda fikir kedua-duanya gembira untuk mempunyai satu sama lain di sana? Itu yang paling penting.”
Ronaldo telah menjaringkan sembilan gol dalam 11 perlawanan sejak berhijrah kembali ke England, membuktikan, walaupun usianya sudah tua, dia masih mempunyai keupayaan untuk menjadi penyelamat Man Utd.
Dia menjaringkan lima gol dalam hanya empat perlawanan Liga Juara-Juara. Dua perlawanan terakhir Ronaldo menjadi penjaring kemenangan ke atas Atalanta, dan kemudian mengikat pasukan yang sama pada babak akhir perlawanan.