Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini telah mengumumkan senarai nama anggota Kabinet baharu yang mendapat perkenaan daripada Yang di-Pertuan Agong.
Salah satu nama menarik perhatian peminat bola sepak tempatan ialah Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan baharu. Manakala timbalan Menteri Belia dan Sukan ialah YB Senator Datuk Seri Ti Lian Ker.
Berdasarkan pengalamannya dalam bidang sukan, Faizal sebelum ini menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) dari tahun 2018 sebelum letak jawatan pada awal tahun ini kerana berdepan masalah mendapatkan dana bagi membiayai gaji pegawai dan pemain.
Walaupun rekodnya bersama Perak tidak begitu baik di mata para peminat sukan, namun mereka berharap Faizal dapat mendengar rintihan pengusaha padang bola sepak dan fasiliti sukan yang terjejas pendapatan sejak penularan wabak pandemik COVID-19.
Selain itu, beliau juga perlu selesaikan masalah Liga Malaysia terutamanya kemasukan kembali penyokong ke stadium untuk yang sudah lengkap dua dos vaksin bagi memastikan kantung kewangan kelab bertanding tidak terjejas.
VOCKET FC mengucapkan selamat maju jaya kepada Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Menteri Belia & Sukan yang baharu.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.