Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan skuad The Boss Gaurus tidak boleh memberikan peluang kepada pasukan Kedah pada pertembungan di pentas final Piala FA musim ini.

Menurut Ahmad Faizal, meskipun menentang pasukan di bawah kelolaan sahabatnya iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir, namun beliau akan memastikan Perak akan memberikan cabaran sengit terhadap pasukan bimbingan Aidil Sharin itu.

Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu
Sumber Gambar: Perak TBG

“Saya akan pastikan Perak lawan habis-habisan dengan Kedah dengan penuh semangat kesukanan.

“Kita akan terjemahkan persahabatan antara Presiden PAFA dengan Presiden KAFA bahawa sukan adalah untuk menyatupadukan, bukan memecahbelahkan,” kata Faizal menurut laporan Harian Metro.

Tambah Faizal, pihaknya sedang mencari jalan terbaik untuk mengagihkan sejumlah 30,000 tiket perlawanan akhir yang diperuntukkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kepada penyokong setia Perak.

“Kita perlu rancang perkara yang boleh menimbulkan semangat kepada penyokong bola sepak Perak dan saya mohon persatuan gabungan PAFA akan membabitkan penyertaan anak kecil supaya mereka kembali seronok dengan cara kita (menyokong dan menonton) final.

“Seronok bersukan dan bukan semata-mata fanatik hingga sanggup bergaduh dan sebagainya,” tambahnya.

Perak
Sumber Gambar: Perak TBG

Perak mara ke pentas final setelah menyingkirkan pasukan Pahang dengan aksi dramatik. Perak tewas dengan keputusan 3-1 pada perlawanan separuh akhir pertama namun skuad bimbingan Mehmet Durakovic itu berjaya bangkit pada perlawanan separuh akhir kedua.

Perak menewaskan Pahang dengan keputusan 3-0 sekaligus melangkah ke perlawanan akhir kedua dalam tempoh dua musim setakat ini.