Masihkah anda ingat Pablo Aimar yang pernah beraksi dalam saingan Liga Malaysia suatu ketika dahulu? Beliau kini adalah antara barisan jurulatih yang membantu skuad Argentina muncul sebagai juara Piala Dunia 2022 di Qatar semalam.

Baca Juga:

Aimar merupakan nama besar yang menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) pada musim 2014. Ketika itu, beliau berada di penghujung karier pada usia 34 tahun, setelah melalui perjalanan penuh gemilang di River Plate, Valencia, Real Zaragoza dan Benfica.

Beliau hanya sempat membuat 8 penampilan dan menjaringkan dua gol ekoran kecederaan yang dialaminya.

Jaringan cantik Aimar dari luar kotak penalti ketika menentang Pahang di Stadium Darul Makmur antara aksi yang paling diingati oleh peminat bola sepak tempatan.

Selepas meninggalkan Harimau Selatan, beliau dipilih menyertai skuad senior pada tahun 2018 sebagai pembantu Lionel Scaloni selepas cemerlang membawa pasukan bawah 17 tahun (B-17) Argentina muncul sebagai juara Piala Amerika Selatan B-17.

Aimar diberi tugas penting untuk membantu Scaloni merancang taktikal dan memainkan peranan yang besar dalam menyenaraikan beberapa pemain berpotensi dalam pasukan tersebut.

Bersama Scaloni, Aimar juga telah membawa masuk beberapa pemain muda berkualiti dalam skuad Piala Dunia Argentina seperti Thiago Almada, Enzo Fernandez dan Julian Alvarez.

Selain Aimar, Scaloni turut dibantu oleh dua bekas pemain iaitu Roberto Ayala dan Walter Samuel. Sebelum ini, Mereka juga berjaya membawa Argentina muncul sebagai juara Copa Amerika pada tahun 2021.

Percaturan Aimar bersama Scaloni berjaya membuahkan hasil apabila mereka menewaskan Perancis di final Piala Dunia semalam sekaligus mencipta sejarah baharu dalam bola sepak negara itu.

Argentina mendahului 2-0 pada separuh masa pertama dan 3-2 ketika berbaki seminit sebelum tamat masa tambahan menerusi dua gol Lionel Messi dan satu gol Angel Di Maria sekali gus meletakkan pasukan itu di ambang kejuaraan.

Bagaimanapun, hatrik Kylian Mbappe membolehkan Perancis kekal bersaing sehingga mengheret aksi ke penentuan sepakan penalti.

Penjaga gol, Emiliano Martinez menyelamatkan sepakan Kingsley Coman dan Gonzalo Montiel yang berjaya menyempurnakan sepakannya memberikan Argentina kejuaraan Piala Dunia buat kali ketiga dan yang pertama sejak mendiang Diego Maradona membantu pasukan itu memenanginya pada 1986.