Bekas pengendali Sarawak, Robert Alberts dilaporkan mengalami serangan jantung pada hari selasa lepas. Namun, keadaannya kini semakin baik dan sedang dirawat di Hospital Borromeus, Bandung.
Menurut kenyataan rasmi, Ketua Jurulatih Persib Bandung itu mengadu sakit di bahagian dada dan lengan kirinya sejak hari isnin lalu. Doktor pasukan, M. Rafi Ghani kemudian memeriksa dan melakukan CT Scan jantung pada keesokan harinya.
Bagaimanapun, belum sempat diperiksa, Robert mengalami serangan jantung lalu dikejarkan ke hospital.
“Hari isnin, saya dan coach (Robert) melakukan pemeriksaan kerana beliau telah menunjukkan gejala awal gangguan jantung. Setelah pemeriksaan elektrokardiografi atau EKG, keadaannya semakin baik,” kata Rafi di laman rasmi kelab.
“Beliau kemudian perlu menjalani pemeriksaan lanjut. Namun, hari selasa jam 4.30 petang saya dapat khabar coach mengalami serangan jantung dan dibawa ke RS Borromeus,” tambahnya.
Menurut Rafi, Robert telah menjalani pembedahan pemasangan kateter (balon) dan ring di jantungnya. Beliau juga memberi jaminan keadaannya kini semakin pulih dan boleh pulang hari esok.
“Dipasang tiga balon dan satu ring. Alhamdulillah setelah pemerhatian kelmarin hasilnya baik, dan sudah pindah ke wad biasa. Kalau melihat hasil secara umum sampai sekarang, besok juga sudah boleh pulang,” ujar Rafi.
Jurulatih dari Belanda yang berusia 65 tahun itu telah mengadakan sesi latihan skuad Persib Bandung sejak bulan lepas.
Beliau juga sebelum ini meluahkan kebimbangan terhadap situasi wabak COVID-19 di Bandung kerana kebanyakan penduduk disana tidak mengamalkan penjarakan sosial dan tidak memakai pelitup muka.
Baca artikel lain mengenai Robert Alberts melalui pautan dibawah.
Tiada Penjarakan Sosial, Robert Alberts Bimbang Pemain Persib Bandung Dijangkiti Virus Corona
Robert Alberts Mahu Perlawanan Persib Bandung Menentang Persija Jakarta Dilangsungkan Di Malaysia