Peminat bola sepak tempatan hari ini dikejutkan dengan berita mengenai bekas pengendali skuad Harimau Malaya, B. Satiananthan yang dilaporkan meninggal dunia.

Perkembagan itu diumumkan oleh Pegawai Media FIFA yang juga merupakan mantan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Christopher Raj.

“Berehatlah dengan aman, Anna. Anda telah berjuang dengan baik,” tulis Chris menerusi ciapannya di laman Twitter.

Christopher ketika dihubungi pihak media memaklumkan Sathianathan menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 1.25 tengah hari tadi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Sebelum ini, Satia pernah dilaporkan tidak sihat dan mengalami masalah sakit jantung. Sejak itu beliau tidak lagi mengendalikan mana-mana pasukan Liga Malaysia selepas letak jawatan sebagai pengendali Sarawak United.

Mendiang juga sempat membuat kemunculan sebagai penganalisis dalam siaran langsung perlawanan Liga Super di saluran Astro Arena.

Satia mula berjinak dalam dunia kejurulatihan pada 1992 apabila membimbing Negeri Sembilan dalam saingan Piala Emas.

Seterusnya beliau menyertai FAM apabila menjadi penolong jurulatih skuad Olimpik negara dari 1997-1999 dan 2002-2004.

Kemuncak kariernya sudah pasti ketika dilantik sebagai pengendali skuad Harimau Malaya 2007-2009 selain sebelum itu turut melatih skuad B-23 tahun negara dengan berjaya menghadiahkan kejuaraan antarabangsa apabila menjuarai Pestabola Merdeka pada 2007.

Ketika zamannya bergelar pemain, mendiang pernah beraksi bersama skuad Harimau Malaya di Sukan SEA 1983 dan menjaringkan 1 gol dalam perlawanan penentuan pingat gangsa menentang Brunei.

Dalam saingan Liga Malaysia, bekas pemain Negeri Sembilan dan Melaka itu turut cemerlang sebagai jurulatih apabila membawa beberapa pasukan termasuk Kelantan dengan menjuarai Piala Malaysia pada 2010, Angkatan Tentera Malaysia (juara Liga Perdana 2012), Felda United (juara Liga Perdana 2018).

Selain itu, beliau turut dinobatkan jurulatih terbaik sebanyak tiga kali (2010, 2012, 2017) dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan.

Kami di Vocket FC mengucapkan salam takziah kepada seluruh keluarga B. Satiananthan. Bola sepak Malaysia telah kehilangan seorang jurulatih yang baik.