Ketua jurulatih Selangor dan juga Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B. Satiananthan berharap para peminat bola sepak tempatan tidak letak harapan terlalu tinggi kepada mutu pengadilan untuk perlawanan akhir Piala FA yang berlangsung pada hari esok.

Perlawanan yang melibatkan pasukan Perak menentang Kedah itu bakal mencipta sejarah baharu dalam arena bola sepak Malaysia apabila pengadil profesional dari Jepun, Takuto Okabe bakal membuat penampilan pertamanya.

Bagaimanapun, Satiananthan menyifatkan kehadiran pengadil dari luar negara itu mampu mengelakkan keputusan berat sebelah tetapi mereka tetap tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan di atas padang.

“Sebenarnya sehingga perlawanan tamat tiada jaminan pengadil itu mampu mengendalikan ia dengan baik atau tidak. Mereka itu manusia bukannya komputer yang sudah diprogram. Cuma saya rasa kalau ada kesilapan itu mungkin impaknya sedikit rendah kerana mereka secara terang adalah orang yang berkecuali.

“Kalau ada yang ingin mempertikaikan pun, mereka (pengadil Jepun) ini bukan berasal dari Perak atau Kedah selain tidak mempunyai apa-apa kepentingan dalam saingan Liga Malaysia,” katanya dalam Sukan Sinar. 

gettyimages-528886844-2048×2048
Referee Takuto Okabe during the Round 23 A-League match between Sydney FC and Wellington Phoenix at the Sydney Football Stadium in Sydney on Saturday, March 12, 2016 in Sydney, Australia. (Photo by Steve Christo) (Photo by Steve Christo/Corbis via Getty Images)

Takuto Okabe yang menjadi pengadil utama untuk perlawanan itu menjadi Pengadil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sejak tahun 2015. Beliau berpengalaman mengendalikan perlawanan-perlawanan Liga Juara-Juara AFC dan Piala AFC sepanjang empat tahun terakhir ini iaitu dari 2016 hingga 2019.

Menurut kenyataan daripada setiausaha agung FAM, Stuart Ramalingam, Okabe akan dibantu oleh dua Penolong Pengadil iaitu Akane Yagi dan Osamu Nomura. Sementara pengadil tempatan, Razlan Joffri Ali, diletakkan sebagai pengadil keempat atau pengadil simpanan.

Langkah pengambilan pengadil luar negara itu dibuat apabila beberapa keputusan kontroversi dilakukan oleh pengadil tempatan ketika perlawanan akhir Piala Malaysia tahun lepas sehingga menimbulkan pelbagai kecaman dan kritikan daripada semua pihak.

photo_2019-07-24_13-26-02

Namun, Satiananthan berpendapat tidak wajar untuk menyalahkan semua pengadil tempatan hanya kerana kesilapan yang dilakukan oleh seorang pengadil kerana Malaysia masih mempunyai beberapa pengadil yang berkualiti.

“Selama ini setiap perlawanan termasuk final hanya melibatkan pengadil tempatan jadi sebab itu mereka lebih mudah ‘diserang’ peminat. Kadang-kadang kerana seorang, semua mendapat nama buruk sedangkan bagi saya masih ada sesetengah pengadil tempatan yang begitu baik.

“Jadi, jika mereka (pengadil Jepun) mengadili perlawanan itu nanti dengan baik…memuaskan kedua-dua pihak termasuk penyokong, pasukan dan pengurusan tiada masalah akan timbul, tetapi tidak semestinya jika mereka buat silap tidak akan mendatangkan apa-apa kesan buruk,” tambahnya.

Sumber