Kebersihan adalah keadaan yang bebas daripada kotoran, termasuk debu, sampah, dan bau. Isu menjaga kebersihan sudah lama menjadi topik perbincangan dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Namun, ia kembali popular apabila penyokong bola sepak Jepun menunjukkan teladan yang baik dengan mengutip sampah sebaik sahaja pasukan mereka menamatkan perlawanan di mana-mana stadium dari seluruh dunia.
Ramai dalam kalangan penyokong tempatan memuji dan sangat mengagumi mentaliti yang ditunjukkan oleh penyokong Jepun tersebut. Tetapi malangnya, peminat bola sepak tempatan gagal mempraktikkan apa yang telah dilakukan oleh penyokong Jepun dalam stadium bola sepak di Malaysia.
Adalah menjadi satu perkara yang sangat ironi apabila masyarakat Islam di negara ini tidak mampu untuk merealisasikan agenda itu walaupun kebersihan menurut agama Islam adalah sebahagian daripada Iman.
Semalam selepas selesai perlawanan akhir Piala FA yang melibatkan pasukan Perak menentang Kedah, seorang penduduk terkejut apabila mendapati sampah sarap mewarnai perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil sehingga mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan ketika sedang beriadah pada waktu pagi.
It’s obvious that our Malaysian football fans don’t care about the environment as much as they care about football. Thanks to their selfishness, our morning fresh air is covered with stinky smell, the running track is filled with rubbish. @SyedSaddiq pic.twitter.com/79ItYQPKoD
— Kar Jun (@KJun24) July 28, 2019
Dimanakah silapnya? Adakah pihak pengurusan stadium gagal menyediakan kemudahan tong sampah yang mencukupi?
Alasan tidak ada atau kurang tong sampah kerap kali diberikan bagi ‘menghalalkan’ tindakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab untuk membuang sisa pepejal mereka sesuka hati. Malah, ada pula yang terlebih kreatif menyusun bekas minuman di kawasan tempat duduk dan membuang dicelah pokok.
Sebenarnya, isu kekurangan tong sampah bukanlah punca utama kepada permasalahan ini kerana rakyat Malaysia masih belum mengubah mentaliti dalam soal kebersihan persekitaran selaras dengan status negara maju yang hendak dicapai pada tahun 2020.
Bagi penulis, sebuah negara yang maju bukan diukur melalui berapa banyak bangunan pencakar langit yang dibina tetapi melalui mentaliti rakyatnya yang suka menjaga kebersihan. Justeru itu, ibu bapa perlu memainkan peranan besar dalam mendidik ahli keluarga masing-masing supaya lebih bertanggungjawab dan tidak mementingkan diri sendiri.
Inilah rakyat malaysia. Buang sampah ikut suka hati. Apa salahnya buang dalam tong sampah? Yang mana berniaga tu, sediakan plastik sampah sendiri dan kumpul then buang. Ini tidak, biar je macam ni. Buat malu je kalau pelancong tengok.
Lokasi: Stadium Bukit Jalil pic.twitter.com/feOyDWZ09Y
— MURAYAMA (@ezrnnnhqm) July 28, 2019
Penyokong bola sepak tempatan perlu bersatu padu menjaga kebersihan ‘rumah kita’
Satu perkara yang sering kita lihat selepas perlawanan liga tempatan adalah sampah sarap yang ditinggalkan oleh penyokong. Kulit kuaci, bekas makanan, dan kepingan tiket dapat dilihat bersepah di lantai dan kawasan tempat duduk. Ia memberikan imej yang buruk kepada pasukan dan di mata pelancong asing.
Para penyokong tegar selalu melaungkan kata-kata keramat seperti “This is our home”, “Home of Harimau Malaya” dan sebagainya tetapi mereka sendiri pun tidak menjaga kebersihan ‘rumah sendiri’.
Membersihkan stadium ini, bukan perkara yang senang dan bukanlah pekerjaan yang boleh disiapkan dalam masa yang singkat. Oleh itu, kerjasama daripada semua pihak termasuk para penyokong sangat diperlukan untuk meringankan beban yang ditanggung oleh makcik dan pakcik ‘cleaner’ stadium tersebut.
Walaupun ada petugas yang diupah untuk membersihkan kawasan itu, ia tidak bermakna anda boleh membuang sampah sewenang-wenangnya. Penyokong harus ada kesedaran bahawa menjadi seorang ‘cleaner’ itu merupakan kerja yang sangat mulia. Makcik dan Pakcik cleaner seharusnya diangkat tinggi, dihormati dan tidak dikeji.
https://twitter.com/imnsrhh/status/1155367584599928832
Kalau dilihat daripada segi sudut umur negara yang sudah mencecah 61 tahun merdeka serta telah mencapai pelbagai kemajuan ekonomi, pendidikan, teknologi dan pembangunan lain, adalah sewajarnya pemikiran dan sikap masyarakat lebih bertamadun berbanding sebelumnya.
Mungkin ada yang mahu menidakkan kenyataan ini dengan seribu satu alasan, bagaimanapun inilah realiti yang harus diterima bahawa negara masih lagi berhadapan dengan isu lama seperti membuang sampah merata-rata, amalan 3R (Reduce, Reuse, Recycle) yang masih rendah serta pembuangan sisa pepejal secara haram.