Setiausaha agung Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Yunus Nusi menafikan khabar angin mengenai pemecatan Shin Tae-yong daripada jawatan Ketua Jurulatih Indonesia kerana masih mempunyai kontrak dengan badan induk itu.
Bekas pengendali skuad Piala Dunia Korea Selatan itu mencuri tumpuan para peminat bola sepak Indonesia selepas memberi kenyataan tidak berpuas hati terhadap pengurusan PSSI kepada media negaranya.
Justeru itu, Ketum PSSI (Ketua Umum), Mochamad Iriawan meminta setiausahanya terus berkomunikasi dengan Tae-yong dan memujuknya agar segera kembali ke Indonesia minggu depan untuk memulakan kem latihan pusat.
“Belum, belum, ketua umum kita itu bijak, ketua umum kita juga paham, belum pernah berbicara tentang itu,” kata Yunus Nusi dalam YouTube CNN Indonesia.
“Ketum (Ketua Umum) selalu mengarahkan kepada kami, ‘pujuklah STY (Shin Tae-yong) ya, dipujuk untuk bincang baik-baik, kembali ke Jakarta dulu’,” tambahnya.
Yunus Nusi turut menegaskan Shin Tae-yong tetap akan melatih Indonesia dan belum memikirkan untuk mencari calon lain bagi menggantikan tempat jurulatih yang berusia 51 tahun itu.
Antara nama yang menjadi sebutan ialah Indra Sjafri dan Fakhri Husaini.
“Belum, kita tidak pernah membincangkan tentang itu. Persatuan dan ketua umum belum pernah bercakap tentang itu. Selama ini komunikasi dengan Shin Tae-yong berkaitan dengan persiapan program latihannya,” ujar Yunus Nusi.
“Kita ada dua sasaran untuk tahun ini. Pertama, skuad kebangsaan B-19 di Uzbekistan dan yang kedua prestasi Indonesia dalam kempen kelayakan Piala Dunia.
“Itu dulu. Ketua umum belum pernah cakap plan A dan plan B ganti Shin Tae-yong atau tidak. Beliau dan PSSI masih berharap Tae-yong dapat membimbing pasukan kita,” jelasnya.
Ketika dibawah bimbingan Simon McMenemy, Indonesia gagal mengutip sebarang mata dalam 5 perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 apabila tewas kepada UAE, Malaysia, Vietnam, dan Thailand.
Tae-yong sebelum ini menyifatkan PSSI hanya mahukan kejayaan segera dan tidak boleh bersabar dengan pembangunan akar umbi yang telah dirancang secara berperingkat untuk membentuk pasukan yang berkualiti.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.
Pengendali Police Tero Mahu Kekal Di Thai League 1 Berbanding Layak Ke ACL
Media Thailand ‘Bersiul’ Kaitkan Diogo Dengan Perpindahan Ke BG Pathum United, Gaji RM548k Sebulan?