Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meletakkan sasaran layak ke separuh akhir Piala Sudirman 2023 yang akan berlangsung di Suzhou, China bermula 14 hingga 21 Mei nanti.

Perkara tersebut disahkan Pengarah Berprestasi Tinggi BAM, Dr Tim Jones ketika mengumumkan senarai penuh pemain yang akan menggalas tanggungjawab skuad negara pada kejohanan bercampuran itu.

Seperti dijangka pemain perseorangan nombor satu negara, Lee Zii Jia akan mengetuai cabaran negara dalam usaha untuk layak ke separuh akhir buat edisi kedua berturut-turut.

Selain itu, skuad negara turut akan dibarisi Ng Tze Yong, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, Goh Jin Wei, K. Letshanaa, Pearly Tan-M. Thinaah, Go Pei Kee-Valeree Siow serta empat gandingan beregu campuran iaitu Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing.

Difahamkan dua legenda yang kini berada dalam senarai Panel Penasihat Teknikal BAM, Roslin Hashim dan Ong Ewe Hock akan turut ke China.

Skuad negara yang kini berada di kedudukan keempat dalam ranking berpasukan dunia telah diundi dalam kumpulan C untuk bersama-sama India, Chinese Taipei dan Australia.

Dengan prestasi India dan Chinese Taipei semakin menunjukkan peningkatan dalam saingan berpasukan dan individu, ia memberikan indikasi jelas bahawa pemain negara perlu bekerja keras sekiranya mahu memastikan sasaran ke separuh akhir dapat direalisasikan.

Pencapaian terbaik skuad negara dalam saingan Piala Sudirman ialah pada edisi 2021 dan 2009 iaitu layak ke separuh akhir.