Pasangan beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie meneruskan rentak cemerlang dalam Kejohanan Badminton Asia 2023 selepas mengesahkan tempat ke separuh akhir, sebentar tadi.
Baca Juga:
- Badminton Asia 2023: Nasib Berbeza Lee Zii Jia, Aaron Chia-Wooi Yik
- Badminton Asia 2023: Tang Jie-Ee Wei Singkirkan Pilihan Ketujuh
- BAM Umum Skuad Piala Sudirman 2023, Sasar Layak Ke Separuh Akhir
Beraksi di Dewan Tertutup, Sheikh Rashid Bin Hamdan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), gandingan yang turut merupakan pasangan kekasih itu berjaya menundukkan Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari 21-17, 15-21, 21-19.
Ia merupakan kemenangan keempat dicatatkan Soon Huat-Shevon ke atas lawan dari Indonesia itu yang menyaksikan mereka sudah bertemu sesama sendiri sebanyak lima kali sejak 2018.
Kemenangan itu bagaimanapun tidak hadir dengan mudah berikutan aksi saling kejar-mengejar mata yang cukup mendebarkan terutamanya pada set penentuan.
Menanti Soon Huat dan Shevon di separuh akhir adalah pemenang antara pasangan nombor satu dunia, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong dan satu lagi gandingan dari Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti.
Harapan kem negara dalam satu lagi aksi separuh akhir diletakkan pula kepada Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang akan membuat perhitungan dengan pasangan beregu lelaki nombor satu dunia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto pada aksi dijangka berlangsung malam ini.
Berdasarkan rekod, gandingan dari Indonesia itu berjaya memenangi tujuh daripada 10 pertemuan menyaksikan pertembungan terakhir mereka adalah pada suku akhir Kejohanan Terbuka Malaysia 2023.
Fajar dan Rian Ardianto bangkit daripada tewas set pertama untuk mencatatkan kemenangan 14-21, 21-16, 21-17 sekali gus muncul juara kejohanan tersebut.