Baru-baru ini, bekas pemain kebangsaan, Baddrol Bakhtiar mengejutkan peminat bola sepak tempatan apabila meninggalkan peranannya sebagai Ketua Pasukan dan tidak lagi bersama Sabah FC sepanjang baki saingan Liga Malaysia musim ini.

Malah, khabar angin bertiup kencang di media sosial mengatakan pemain yang berusia 35 tahun itu akan menceburi bidang politik dan bakal bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.

Baddrol juga telah pulang ke Kedah kerana negeri itu merupakan salah sebuah daripada enam negeri yang terlibat dalam pilihan raya kali ini dengan hari penamaan calon bakal diadakan pada 29 Julai.

Ketika ditanya oleh pihak media, Baddrol menjelaskan keputusan beliau menceburi bidang politik adalah demi mempertahankan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Nor serta memperjuangkan agama dan bangsa.

“Pertamanya, saya ingin perjuangkan agama serta bangsa. Saya juga ingin pertahankan individu yang orang duk serang sekarang ini dan beliau juga tenang bertahan, iaitu Sanusi.

“Itu sebab saya terhutang hati untuk perjuangkan Sanusi dan pertahankan Kedah bawah beliau,” katanya dipetik dalam portal FreeMalaysiaToday

Ditanya sama ada beliau akan dicalonkan dalam PRN, Baddrol berkata, beliau percaya kepada takdir.

“Kalau kita ikhlas, jujur dalam perjuangan atau bidang diceburi, insya-Allah tuhan bantu. Malam ini saya terharu dengan anak muda yang hadir dan rasa teruja serta lebih bersemangat perjuangkan apa yang saya impikan selama ini.

“Saya juga menyeru penduduk kampung di sini memilih pemimpin yang ada sifat kepimpinan dan mendengar keluhan rakyat selama ini,” tambahnya.

Sabah FC merupakan fasa baharu dalam karier bola sepak Baddrol dimana ia juga merupakan pertama kali beliau meninggalkan Kedah sekaligus menemukannya kembali dengan bekas pengendali skuad bawah 23 tahun negara yang menjuarai Sukan SEA 2011, Datuk Ong Kim Swee.

Sepanjang dalam karier profesionalnya, Baddrol telah memenangi kesemua trofi yang dipertandinkan dalam kancah Liga Malaysia apabila beliau mengecap nikmat sebanyak dua kali dalam menjulang Liga Super [2006/07 dan 2007/08].

Apatah lagi beliau juga merupakan antara tonggak Kedah ketika memenangi kejuaraan ‘double treble’ ketika dibawah kendalian Mohd Azraai Khor Bin Abdullah.