Bekas pemain kebangsaan, Baddrol Bakhtiar sah menjadi calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Perkara itu diumumkan pada majlis pengumuman calon PN Kedah di Kompleks Pas Kedah semalam.

Pengumuman itu sekaligus menjelaskan sebab sebenar pemain tengah berusia 35 tahun itu meninggalkan peranannya sebagai Ketua Pasukan dan tidak lagi bersama Sabah FC sepanjang baki saingan Liga Malaysia musim ini.

Di Gurun, Baddrol bakal berdepan calon Pakatan Harapan (PH) yang merupakan Timbalan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah dan juga anak kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, Mohammed Firdaus Johari.

PN yakin kehadiran Baddrol bakal menarik sokongan pengundi untuk mengukuhkan kedudukan gabungan itu di Kedah PRN, 12 Ogos nanti.

Ketika ditanya oleh pihak media, Baddrol menjelaskan keputusan beliau menceburi bidang politik adalah demi mempertahankan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Nor serta memperjuangkan agama dan bangsa.

“Pertamanya, saya ingin perjuangkan agama serta bangsa. Saya juga ingin pertahankan individu yang orang duk serang sekarang ini dan beliau juga tenang bertahan, iaitu Sanusi.

“Itu sebab saya terhutang hati untuk perjuangkan Sanusi dan pertahankan Kedah bawah beliau,” katanya

Baddrol, seorang lagi bekas kapten pasukan bola sepak Kedah, Radhi Mat Din turut bertanding di kerusi DUN Alor Mengkudu.

Radhi bukan nama asing dalam dunia politik kerana pernah menjadi calon Pas bagi kerusi Parlimen Pokok Sena pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 2018 namun tewas kepada Datuk Mahfuz Omar.

Pada PRN kali ini, Radhi sekali lagi diramalkan bertemu Mahfuz yang merupakan Pengerusi PH Kedah yang turut disebut-sebut akan bertanding di DUN Alor Mengkudu.