Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi menjadi bualan peminat sukan tempatan apabila meraih pingat gangsa dalam acara 100 meters lelaki di Sukan Asia 2022.

Baca Juga:

Beliau melakukan catatan 10.11 saat untuk menamatkan saingan di tempat ketiga di belakang pelari China, Xie Zhenye yang memenangi emas dengan 9.97 saat.

Manakala pingat Perak dimenangi oleh pelari dari Thailand, Boonson Puripol dengan catatan 10.02saat. Malah, Azeem juga menewaskan bekas juara dunia B-20, Lalu Muhammad Zohri dari Indonesia yang berada di kedudukan ke 6.

Malaysia kembali mencatat nama dalam sukan olahraga selepas 30 tahun menyepi untuk acara 100 meter lelaki.

Pada aksi separuh akhir, Azeem mencatatkan masa kedua terpantas 10.17 saat (s) di belakang Lalu Mohamad Zohri yang merekodkan 10.12s.

Pelari yang berpengkalan di Amerika Syarikat itu mengakui dia sebenarnya tidak gemar berlari pada waktu malam dan ia adalah pengalaman pertamanya selepas enam tahun berlari pada waktu pagi.

“Saya tak suka berlari waktu malam. Tapi itulah jadual tuan rumah dan kita perlu ikut. Bagi saya, berlari waktu malam seperti kurang oksigen mungkin sebab saya sudah biasa berlari waktu pagi.

“Walau apapun saya tetap akan beri yang terbaik untuk negara dan sasaran sekarang adalah mara ke final seterusnya sumbangkan pingat buat Malaysia,” katanya.

Pengalaman dan hasil latihan keras di Amerika Syarikat ternyata membantu meningkatkan prestasi Azeem dan tidak mustahil beliau mampu melakar rekod baharu bawah 10 saat satu hari nanti.

Sementara itu, seorang lagi wakil negara, Khairul Hafiz Jantan gagal mara ke peringkat akhir apabila berada di kedudukan tercorot dalam aksi separuh akhir dengan catatan 10.63 saat (s).