Pengurus peribadi Lionel Messi yakni ayahnya sendiri Jorge Messi telah menafikan bahawa mereka sudah setuju dengan tawaran dari Arab Saudi iaitu Al Hilal.

Baca Juga:

Laporan oleh Fabrizio Romano sebelum ini menyebut bahawa, Al Hilal menawarkan kontrak lumayan €400 juta semusim.

Selain itu Al Hilal turut cuba membawa masuk beberapa na besar lain termasuk Sergio Busquets, Jordi Alba dan juga Marco Verratti.

Ia sebagai bukti kepada Messi bahawa mereka serius dalam pembentukan projek berteraskan pemain itu.

Kontrak pemain itu dengan PSG akan tamat akhir musim ini. Dan Messi sah tidak akan melanjutkan kontrak baharu dengan PSG.

Laporan menyebut bahawa Messi sedia meraih pendapatan tertinggi dalam sejarah sukan dengan pendapatan 2 kali ganda €400 juta.

Bercakap kepada L’Equipe, Jorge Messi berkata: “Ianya berita tak berasas. Kami tidak akan menentukan mana mana kelab sehingga musim ini berakhir dengan PSG.”

“Apabila musim ini berakhir barulah kami akan menganalisis semua pilihan yang ada dan membuat keputusan.”

“Sentiasa ada khabar angin menggunakan nama Messi. Namun kebenarannya cuma satu, kami belum membuat apa apa keputusan.”

“Jelas sekali berlaku rasa tidak hormat antara media dengan pihak kami. Mereka harus jumpa kami dan memberikan penjelasan kenapa mereka berikan penjelasan yang tidak tepat,” tambah beliau lagi.

Lionel Messi kini turut menjadi idaman beberapa kelab lain selain Al Hilal. Ini termasuk kelab dari Amerika Syarikat dan bekas kelab lamanya, Barcelona.

Barca masih menunggu lampu hijau La Liga untuk membolehkan mereka membuka rundingan dengan Lionel Messi.

Xavi Hernandez menyatakan bahawa dia akan sentiasa terbuka menerima Messi.