Pierre-Emerick Aubameyang menganggap Mikel Arteta adalah satu satunya orang yang ada masalah dengan beliau di Arsenal. Ini selepas Arteta tidak teragak agak menendang bintang utama Arsenal itu keluar dari kelab.
Arteta mengambil keputusan berani dan tegas dengan membekukan Aubameyang daripada pasukan utama selepas pemain itu lewat hadir untuk sesi latihan menjelang perlawanan Southampton.
Sebenarnya, itu bukan pertama kali kapten Arsenal itu melakukan perlanggaran disiplin di Arsenal, terutama sekali sebagai seorang kapten.
Arteta turut melucutkan jawatan kapten daripada Aubameyang. Dan pemain itu digantung tidak bertali. Tidak pasti bila dia akan kembali lagi.
Tanpa Aubameyang, Arsenal tetap menikmati prestasi yang cemerlang sepanjang Disember. Walaupun harus diakui mereka masih memerlukan seorang penyerang yang prolifik.
Ianya membuatkan Mikel Arteta merasakan bahawa Arsenal tidak terdesak memerlukan Aubameyang. Kerana pemain itu turut bergelut dengan prestasinya sejak musim lalu lagi.
Walaupun dirundung pelbagai spekulasi tentang apa yang berlaku, namun Aubameyang kekal profesional dan berdiam diri. Sehinggalah dia akhirnya membuka mulut untuk menjelaskan apa yang berlaku sebaik sahaja beliau meninggalkan Arsenal.
Menurut Aubameyang, dia tiada masalah langsung dengan Arsenal, kecuali Arteta.
“Ya, saya fikir [masalahnya] hanya dengan dia [Arteta] dan kemudian saya membuat keputusan ini. Saya tidak boleh memberitahu anda lebih lanjut, dia tidak gembira dan itu sahaja,” kata Aubameyang.
“Saya tidak boleh berkata apa-apa lagi kerana itulah yang berlaku. Saya sangat gembira. Saya rasa adalah lebih baik dengan cara ini, itu sahaja.”
Aubameyang sendiri mengakui dia tidak mahu menimbulkan sebarang masalah di Arsenal. Kemudian dia mahu melupakan semua yang sudah berlaku dan memberi tumpuan kepada kelab baharunya, Barcelona, yang sedang bergelut untuk menamatkan musim 2021/22 di kelompok 4 teratas.
“Ianya adalah beberapa bulan yang rumit, kadangkala bola sepak begitu. Jika saya perlu mengatakan sesuatu tentang ini, saya akan mengatakan saya tidak pernah mahu melakukan sesuatu yang buruk.”
“Saya harus lupakan perkara ini dulu, kerana sekarang ini adalah memikirkan apa yang berlaku sekarang.”
Pierre-Emerick Aubameyang says he didn't want to cause any trouble at Arsenal and that his only problems were with Mikel Arteta 😳
(🎥: Barcelona TV) pic.twitter.com/kOu1hytxgJ
— Sky Sports News (@SkySportsNews) February 3, 2022
Aubameyang menyertai Barcelona pada hari terakhir jendela perpindahan Januari. Dengan Arsenal dan Aubameyang mencapai kesepakatan bersama untuk penamatan kontrak.