Hasrat untuk melihat kem sepak takraw lelaki Malaysia membawa pulang pingat emas acara regu berpasukan saingan Sukan Asia (Asian Games) 2022 tidak kesampaian selepas tewas 0-2 kepada Thailand pada aksi final yang berlangsung sebentar tadi.

Baca Juga:

Berdepan lawan dibarisi pemain-pemain yang berada di kelas yang tersendiri jelas memberikan sedikit kesukaran buat barisan pemain negara.

Tiada sebarang pertukaran dilakukan oleh ketua jurulatih, Ahmad Jais Baharun yang menurunkan Muhammad Haziq Hairul Nizam (tekong), Muhammad Noraizat Nordin (perejam) dan Farhan Adam (pengumpan) sebagai regu pertama.

Lawan yang ditentang mereka nyata bukanlah calang-calang pemain apabila Thailand membariskan Sittipong Khamchan selaku tekong, Pichet Pansan sebagai perejam dan Wichan Temkort (pengumpan).

Sittipong jelas cukup bijak dalam mencari arah servisnya manakala Pichet pula jarang menghampakan ketika melakukan libasan serta ketenangan Wichan menjadi adunan lengkap untuk memastikan kemenangan 21-15, 21-14.

Mata kemenangan Thailand disumbangkan oleh gandingan Siriwat Sakha, Jantarasena Varayut dan Pattarapong Yupadee yang beraksi cemerlang untuk menewaskan Mohammad Syahir Rosdi (digantikan Zarif Marican Ibrahim Marican), Mohamad Azlan Alias serta Amirul Zazwan Amir.

Selain kemampuan trio Thailand yang sememangnya mempunyai reputasi cukup hebat, kesilapan-kesilapan mudah Syahir ketika melakukan servis turut sedikit sebanyak memudahkan perjalanan Thailand untuk meraih kemenangan pada set pertama 21-13.

Aksi lebih menarik ditampilkan pada set kedua dengan kebangkitan dipamerkan gandingan negara apabila bangkit daripada ketinggalan 3-9 untuk mengikat kedudukan 14-14 setelah kemasukan Zarif.

Namun, pengalaman luas Siriwat yang berusia 34 tahun dan Pattarapong 39 tahun memberikan nilai tambah terhadap aksi mereka untuk mengekang asakan hebat pemain negara bagi mengesahkan kejuaraan dengan kemenangan 21-18.

Pingat perak yang dimenangi skuad negara itu mengulangi pencapaian lima tahun lalu di Palembang dimana Thailand turut muncul selaku pemenang pingat emas. Malah, Thailand merangkul pingat emas buat kali ketujuh berturut-turut.

Misi lebih sukar bakal dihadapi pemain negara selepas ini dalam acara regu yang menyaksikan Malaysia merupakan juara bertahan dan tugasan lebih mencabar bakal menanti kerana Thailand akan turut serta dalam acara tersebut.