Pelumba basikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom mempamerkan kayuhan yang cukup bertenaga untuk mara ke final Sukan Asia (Asian Games) 2022 dalam acara keirin, sebentar tadi.

Berada dalam separuh akhir kedua yang turut menampilkan seorang lagi pelumba negara, Muhammad Fadhil Mohd Zonis memperlihatkan strategi berkesan dijelmakan Shah Firdaus.

Sebaik sahaja ‘pacer’ keluar dari trek, para pelumba tidak menunggu lama bagi memulakan langkah untuk menuju ke hadapan.

Shah Firdaus yang tidak ketinggalan untuk memecut laju ternyata begitu unggul sehingga gagal dikejar oleh dua pencabar terdekat iaitu Zhou Yu dari China dan pelumba Korea Selatan, Kang Seojun untuk mencatatkan masa 10.334 saat.

Dengan tiga pelumba ditangga teratas tersebut berjaya mara ke final, Muhammad Fadhil bagaimanapun terpaksa menelan kepahitan sekadar menamatkan saingan di kedudukan terakhir.

Dengan kayuhan bertenaga dan cukup meyakinkan ditampilkan oleh Shah Firdaus di peringkat separuh akhir, ia memberikan harapan kepada seluruh peminat sukan tanah air agar dapat melihat anak kelahiran Muar itu membutirkan pingat buat kem negara pada jam 8.00 malam ini.

Edisi lima tahun lalu Jakarta menyaksikan Dato Azizulhasni Awang yang tidak bertanding pada kali ini memperolehi pingat gangsa manakala Shah Firdaus pula sekadar di kedudukan ketujuh.

Pemenang pingat emas acara keirin edisi 2018, Jai Angsuthasawit dari Thailand pula gagal untuk melepasi peringkat saringan ketiga dimana Shah Firdaus berjaya mengungguli saingan tersebut.