Pemain perseorangan nombor satu negara, Lee Zii Jia mempamerkan kebangkitan pada lewat set kedua untuk menumbangkan pemain Thailand, Kunlavut Vitidsarn dalam aksi pusingan 16 Sukan Asia (Asian Games) 2022 yang berlangsung di BJ Gimnasium, sebentar tadi.
Kemenangan penting itu jelas meningkatkan moral Lee Zii Jia kerana lawannya memegang reputasi sebagai juara dunia dan turut berada di ranking lebih baik daripada beliau.
Segalanya seperti tidak berjalan dengan lancar pada set kedua setelah Kunlavut mempamerkan corak permainan agresif hingga memaksa Zii Jia melakukan kesilapan.
Ia jelas dibuktikan selepas Kunlavut tidak berdepan masalah besar untuk menang 21-10 pada set pertama.
Kecemerlangan itu diteruskan hingga beliau mendahului 11-7 pada rehat ‘interval’. Namun, Lee Zii Jia bangkit dengan semangat juang tinggi sekali gus memenangi set kedua dengan keputusan 21-19.
Laluan mudah dapat disaksikan pada set penentuan kerana Kunlavut Vitidsarn kelihatan sudah tidak bermaya untuk beraksi dengan baik.
Begitu banyak pukulan ke luar gelanggang dilakukan dan kesempatan tersebut digunakan sepenuhnya oleh Zii Jia untuk meneruskan kemaraan dengan kemenangan 21-6.
Difahamkan, Lee Zii Jia yang pastinya memburu kejayaan di Asian Games ini berkemungkinan akan bertemu pemain India, H.S Prannoy di suku akhir.
Sementara itu dua pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie menerima nasib berbeza.
Tang Jie-Ee Wei mara ke suku akhir selepas menewaskan Sai Pratheek-Tanisha Crasto 21-18, 21-18 manakala Soon Huat-Shevon pula tewas ditangan Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran 21-17, 21-23, 13-21.