Skuad sepak takraw Malaysia menepati ramalan mara ke final acara berpasukan Sukan Asia (Asian Games) 2022 apabila menundukkan Laos 2-0 pada aksi separuh akhir yang berlangsung sebentar tadi.
Baca Juga:
- Asian Games 2022: Raih Kemenangan Kedua, Malaysia Elak Jumpa Thailand Di Separuh Akhir
- Asian Games 2022: Skuad Sepak Takraw Malaysia Bangkit Tewaskan Indonesia
- Sepak Takraw Guna Sistem 15 Mata Mulai Tahun 2024
Lawan yang bakal menanti skuad negara di pentas final esok pastinya gergasi sepak takraw, Thailand yang tidak berdepan masalah untuk menundukkan Korea Selatan.
Ketua jurulatih, Ahmad Jais Baharun terus menyandarkan harapan buat Muhammad Haziq Hairul Nizam (tekong), Noraizat Nordin (perejam) dan Farhan Adam (pengumpan) sebagai regu pertama.
Meskipun berdepan lawan yang tidak begitu dikenali dalam sepak takraw, trio negara itu tidak diberikan laluan mudah pada kedua-dua set.
Lawan mereka yang terdiri daripada Daovy Xanavongxay (tekong), Noum Souvannalith (perejam) dan Phitthasanh Bounpaseuth (pengumpan) telah mempamerkan aksi yang terbaik untuk memberikan kesukaran buat gandingan negara.
Namun, servis berkualiti yang diperagakan Haziq sambil dibantu pengalaman luas Noraizat dan Farhan membolehkan mereka menang 21-17, 21-19 untuk memberikan mata pertama buat kem negara.
Mata kedua skuad negara disumbangkan oleh Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong), Mohamad Azlan Alias (perejam) dan Amirul Zazwan Amir selaku pengumpan.
Trio yang tidak perlu diperkenalkan lagi itu menundukkan Adong Phoumisin (digantikan Po Mashopa), Soukkaserm Chanthahieng (digantikan Kantana Nanthisen) dan Yothin Sombatphouthone.
Kemenangan 21-14, 21-14 itu sekali gus membawa skuad Malaysia ke perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung pada jam 2.00 petang, Jumaat ini.