Beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan rentak cemerlang dalam saingan Sukan Asia (Asian Games) 2022 selepas berjaya mara ke separuh akhir.

Baca Juga:

Kemenangan penting dilakarkan ke atas pemain China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi di Binjiang Gimnasium, Hangzhou itu telah menyelamatkan maruah Malaysia selepas satu demi satu wakil Malaysia tersingkir dalam saingan suku akhir.

Ia juga memberikan petunjuk jelas bahawa kem negara akan membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat daripada acara badminton tanpa perlu memikirkan keputusan di separuh akhir.

Berdepan lawan yang mendapat sorakan padu ribuan penyokong tuan rumah jelas menghadirkan sedikit kesukaran buat Aaron dan Wooi Yik.

Aksi yang cukup sengit jelas dapat disaksikan dan ia terbukti selepas kedua-dua pasangan terikat 8-8 pada permulaan set pertama.

Aaron-Wooi Yik kemudiannya memegang kelebihan 11-8 tetapi pasangan China yang berada di ranking kelapan dunia itu kembali mengejar tiga mata berturut-turut untuk kedudukan 11-11.

Gandingan negara itu kemudiannya menyerap tekanan dengan cukup baik untuk memenangi set pertama dengan jurang mata 21-18.

Skrip sama dapat disaksikan di set kedua yang menyaksikan corak permainan penuh dramatik dan mendebarkan hingga ke mata terakhir.

Kelebihan dua mata yang dimiliki ketika mendahului 19-17 gagal dipertahankan oleh Aaron Chia-Soh Wooi Yik sekali gus membolehkan Yu Chen-Xuan Yi bangkit dengan kemenangan 21-19 bagi mengheret aksi ke set penentuan.

Tuah nyata menyebelahi pasangan negara selepas beberapa kesilapan Yu Chen dan Xuan Yi pada lewat permainan menghadiahkan kemenangan buat mereka dengan keputusan 21-18.

Menanti Aaron-Wooi Yik di separuh akhir berkemungkinan besar wakil dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty yang kini sedang memegang kelebihan besar bertemu Nge Joo Jie-Johann Prajogo dari Singapura.