Arsenal rasminya menjadi juara Perisai Komuniti 2023/24 selepas menewaskan Man City dalam aksi yang agak mendebarkan.

Baca Juga:

Luka The Gunners ke atas City masih tak sembuh lagi selepas mereka gagal untuk menjuarai EPL musim lalu walaupun berada di punca liga lebih 240 hari lamanya.

Dan ini adalah peluang untuk mereka merawat sedikit luka tersebut sebelum memulakan musim Liga Perdana Inggeris.

Bertempat di Wembley, Arsenal menjulang Perisai Komuniti Inggeris yang menandakan bahawa Liga Perdana Inggeris musim 2023/24 bakal bermula tidak lama lagi.

Man City dan Arsenal ternyata mempamerkan aksi sengit sepanjang 90 minit.

Pemain Man City, Cole Palmer melencongkan bola yang menewaskan Aaron Ramsdale pada minit ke-77.

Dan tidak lama selepas itu Phil Foden terlepas peluang untuk menambah gol kedua menerusi situasi di hadapan gawang Arsenal.

Arsenal kemudian melakukan serangan dengan lebih intensif dengan menghantar lebih ramai pemain ke zon serangan.

Ketika Man City kelihatan bakal melebarkan rekod cemerlang ke atas Arsenal dengan 9 kemenangan berturut turut, kemenangan itu dinafikan oleh gol daripada Leandro Trossard.

Trossard melakukan hantaran mendatar yang terbias pada kaki pertahanan Manchester City dan terus masuk.

Gol pada minit ke-101 – masa kecederaan itu – telah mengheret perlawanan ke penentuan penalti. 

Dalam penentuan penalti, Odegaard memulakannya dengan sempurna untuk Arsenal. Namun De Bruyne merembat terkena palang walaupun sudah membuatkan Ramsdale melayangkan badan ke tempat yang salah.

Ketika Arsenal meneruskan kecemerlangan mereka menerusi Trossard dan juga Saka, giliran Rodri pula melakukan kesilapan. Penalti lemahnya diselamatkan Aaron Ramsdale.

Arsenal akhirnya bergelar juara Perisai Komuniti 2023/24, apabila Fabio Vieira memastikan penaltinya masuk untuk menjadikan kedudukan 4-1.

Ia adalah kemenangan Perisai Komuniti ke-17 Arsenal.