Pemain pertahanan Kedah Darul Aman (KDA) FC, Ariff Farhan Md Isa mengakui masih mencari rentak permainan yang lebih baik selepas dibelenggu kecederaan di kepala ketika aksi pra-musim, Februari lalu.
Beliau bagaimanapun telah diberi kepercayaan untuk berada dalam kesebelasan utama dalam dua perlawanan terdahulu menentang Terengganu FC dan Perak FC sambil menyifatkan prestasinya masih belum di tahap memuaskan.
“Saya bersyukur apabila dapat beraksi penuh dan jurulatih (Aidil Sharin Sahak) juga percaya dekat saya, cuma secara peribadi, saya sendiri masih belum puas dengan prestasi sendiri, banyak benda lagi kena perbaiki.
“Untuk berdepan Kuala Lumpur City FC pada malam esok, saya tidak pasti lagi akan diturunkan atau tidak, tetapi jika masih diberi peluang, pastinya saya ingin balas kepercayaan yang telah diberi ini.
“Lawan juga bukan calang-calang dan mereka juga ada pemain-pemain import yang merbahaya untuk kita, dan kita tahu ia tidak akan menjadi perlawanan mudah walaupun kita beraksi di laman sendiri”, tambah Ariff Farhan lagi.
Selain perlawanan antara Kedah dan Kuala Lumpur pada malam esok, satu lagi aksi membabitkan Selangor FC yang akan berdepan Sabah FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Tiga perlawanan pula akan berlangsung pada Sabtu menyaksikan Penang FC akan menentang Sri Pahang FC, UiTM FC bertemu PJ City FC manakala pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan menerima kunjungan Terengganu FC.
Satu lagi baki perlawanan adalah pada Ahad melibatkan Perak FC dan Melaka United FC.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.
Ong Kim Swee: Kita Perlu Beri Bimbingan Buat Skuad Projek FAM/MSN
Syamim Yahya: Jaringan Sulung Bersama Melaka Beri Semangat Baharu
Kekurangan Minit Bermain Jejas Prestasi Pemain Tempatan Bersama Skuad Kebangsaan