Skuad Argentina yang diterajui Lionel Messi dan Perancis yang dipimpin Kylian Mbappe, dua pasukan yang berentap dalam aksi final Piala Dunia yang mendebarkan empat tahun lalu, bakal melangkah garang memulakan kempen kejohanan 2026 pada Selasa.

Argentina, yang memenangi perlawanan dramatik di Doha itu menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 3-3 susulan masa tambahan, bakal menentang Algeria di Kansas City.

Messi bakal beraksi dalam Piala Dunia keenamnya, dan jurulatih Argentina, Lionel Scaloni berkata pemain tonggak berusia 38 tahun itu “berada dalam keadaan baik” meskipun mengalami kecederaan hamstring ketika beraksi untuk kelab Inter Miami pada akhir Mei lalu.

“Semua orang mahu melihat beliau beraksi di padang, bukan sahaja rakyat Argentina, kerana impak yang dibawanya kepada orang ramai,” kata Scaloni dalam sidang media sebelum perlawanan.

“Dia sentiasa penting bagi kami dan kini dia akan menjadi lebih penting lagi. Dia kelihatan berada dalam keadaan baik.”

Messi membuktikan tahap kecergasannya apabila turun sebagai pemain gantian dan menjaringkan gol dalam aksi pemanasan badan menentang Iceland, minggu lalu.

“Beliau seorang yang sangat kompetitif,” kata pemain pertahanan tengah, Nicolas Otamendi. “Beliau memaksa anda untuk terus berusaha, beliau tidak membiarkan anda leka.”

Perancis bersama jentera serangan berbisa mereka yang menampilkan Mbappe, pemenang Ballon d’Or Ousmane Dembele serta pemain sayap lincah Michael Olise bakal membuka tirai saingan menentang Senegal di New Jersey.

Perancis pasti amat terdesak untuk mengelakkan sebarang ulangan kekalahan pada perlawanan pembukaan kepada Senegal yang dialami mereka pada Piala Dunia 2002 di Korea Selatan, keputusan yang menyaksikan juara bertahan ketika itu tersingkir di peringkat kumpulan.

“Perlawanan pertama sangat penting tetapi ia bukan penentu. Memulakan saingan dengan kemenangan dalam kumpulan empat pasukan adalah ideal dan sentiasa menjadi objektif,” kata jurulatih Perancis, Didier Deschamps pada Isnin.

“Namun, satu perkara yang tidak boleh kita ukur atau kuantifikasi adalah aspek emosi. Sesetengah pemain mungkin berasa tegang dengan atmosfera di sekeliling perlawanan,” amaran Deschamps.

Perancis telah mara ke perlawanan akhir dalam empat daripada tujuh edisi Piala Dunia yang lalu, memenangi dua daripadanya dan tewas dua lagi menerusi penentuan sepakan penalti.

Haaland Lapar Kejayaan

Erling Haaland membuat penampilan sulung di pusingan akhir Piala Dunia bersama Norway menentang Iraq selepas negaranya layak buat kali pertama sejak 1998.

Haaland baru sahaja menamatkan musim sebagai penjaring terbanyak Liga Perdana (Premier League) buat kali ketiga dalam tempoh empat musim bersama Manchester City, serta melakar rekod luar biasa dengan 55 gol dalam 50 penampilan bersama negaranya.

“Semoga beliau akan memberikan impak yang sangat besar,” kata jurulatih Norway, Stale Solbakken, yang menganggotai skuad sebagai pemain tengah ketika kali terakhir Norway beraksi di pusingan akhir di Perancis.

Jurulatih Iraq kelahiran Australia, Graham Arnold, percaya pasukannya mampu melakar kejutan.

“Kita perlu mempamerkan aksi terbaik dan cuba mengejutkan dunia,” kata Arnold.

“Kelayakan sahaja tidak mencukupi. Saya mahukan yang lebih daripada itu,” tambah beliau. “Kami hanya ada segala-galanya untuk dimenangi dan tiada apa-apa untuk dirugikan.”

Dalam aksi pada Isnin, salah satu pasukan pilihan sebelum kejohanan, Sepanyol, diikat dengan keputusan seri tanpa jaringan yang mengejutkan oleh pasukan kerdil Cape Verde, yang membuat penampilan sulung.

Malah kemasukan bintang Barcelona, Lamine Yamal sebagai pemain gantian pada babak kedua juga kurang memberikan impak.

Iran terikat seri 2-2 menentang New Zealand di Los Angeles tatkala permulaan kempen Piala Dunia Republik Islam yang penuh ketegangan itu menyaksikan puluhan ribu diaspora Iran dari California membanjiri tempat duduk penonton.

Selepas itu, jurulatih Amir Ghalenoei berkata Iran merupakan “pasukan paling tertindas dalam Piala Dunia” selepas para pemainnya dimaklumkan secara mengejut bahawa mereka perlu pulang segera ke Mexico sejurus selepas perlawanan.

Media kerajaan Iran kemudian melaporkan bahawa visa pemain sayap Mehdi Torabi telah tamat tempoh selepas perlawanan tersebut, dengan menyatakan bahawa beliau hanya diberikan visa kemasukan tunggal berbanding visa kemasukan berbilang yang diterima oleh pemain pasukan kebangsaan yang lain.

Ia merupakan mimpi ngeri logistik terbaharu bagi skuad Iran yang tiba di kejohanan anjuran bersama Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada itu, di bawah bayang-bayang pertikaian diplomatik yang sengit antara Tehran dan Washington.

Mereka memindahkan pusat latihan mereka dari Tucson, Arizona ke Tijuana di Mexico sejurus sebelum pertandingan tersebut.

Di Seattle, kejutan seakan-akan bakal tercipta apabila Mesir mendahului pada separuh masa pertama menentang Belgium menerusi Emam Ashour.

Bagaimanapun, penyerang veteran Belgium, Romelu Lukaku, yang dibawa masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua, menggunakan kelebihan fizikalnya untuk memaksa pertahanan Mesir, Mohamed Hany, menjaringkan gol sendiri sekali gus memberikan satu mata buat Belgium.

Uruguay terpaksa bangkit daripada ketinggalan untuk meraih satu mata ketika menentang Arab Saudi dalam Kumpulan H.