Bekas pemain Newcastle United, Andy Cole memuji kemampuan hebat yang ditampilkan oleh penyerang muda kelab tersebut, Alexander Isak.
Baca Juga:
- Luke Shaw: Newcastle Lebih Bermotivasi Tinggi Berbanding Kami
- Kenali Toon Army Malaysia, Pendukung Jatuh Bangun Newcastle United
- Newcastle United Tiada Perancangan Untuk Dapatkan Khidmat Luqman
Menyertai Newcastle United pada 26 Ogos 2022 dari Real Sociedad, Isak tidak menunggu lama untuk mempamerkan sentuhan berkualiti tinggi yang dimilikinya.
Meskipun hanya membuat 13 penampilan setakat ini dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) akibat kecederaan hamstring dialaminya, Isak masih mampu menjaringkan lapan gol.
Lebih menarik untuk diperkatakan, lima daripada jaringan tersebut dihasilkan oleh beliau pada lima perlawanan terakhir.
Sehubungan dengan itu, Cole yang beraksi dengan Newcastle United dari tahun 1992 hingga 1995 melihat The Magpies tidak perlu untuk mendapatkan khidmat penyerang seperti Harry Kane kerana kredibiliti Isak.
“Isak telah menjaringkan beberapa gol sejak kebelakangan ini dan dia telah menawarkan sesuatu yang sangat berbeza berbanding Callum Wilson,” ujar Cole menurut laporan Chronicle Live.
“Isak lebih mudah bergerak, boleh berlari ke arah pertahanan dan mempunyai kesedaran yang hebat, boleh mendapatkan bola di kawasan tengah untuk melepaskan rembatan dan turut boleh berlari di belakang pertahanan lawan.”
“Newcastle tidak perlu untuk cuba mendapatkan khidmat Harry Kane, mereka sudah mempunyai penyerang yang sangat bagus seperti Alexander Isak, saya sangat menyukainya.”
“Newcastle mempunyai Isak dan Wilson sebagai sokongan, saya sangat terkejut untuk melihat mereka cuba menandatangi penyerang lain, tidak hanya melibatkan Kane,” tambah Cole lagi.