Pembelian Donny Van De Beek ke Manchester United dianggap sangat penting dalam isu berkaitan dengan taktikal pasukan mereka.

Reputasi Van De Beek

Van De Beek merupakan pemain muda yang memiliki reputasi luar biasa pada usianya.

Antara pencapaian gemilang beliau adalah membantu Ajax menamatkan kemarau kejuaraan Eredivisie dan kemudian menunjukkan prestasi cemerlang membantu Ajax ke separuh akhir UCL musim 2018/19.

Maka tidak hairanlah Donny Van De Beek dikaitkan dengan banyak pasukan besar lain termasuk Real Madrid, Barcelona, Spurs dan Arsenal.

Posisi

Van De Beek adalah pemain tengah yang ofensif. Beliau memiliki versatiliti yang tinggi di tengah. Selain daripada kemampuan untuk bermain sebagai penyerang ekstra dalam kontak penalti, Van De Beek juga rajin bertahan.

export-3-1

Salah satu kekuatan beliau adalah body positioningnya yang sentiasa dalam kedudukan terbaik sama ada untuk menerima bola ataupun menarik keluar pertahanan lawan.

Lihat cara beliau mencipta ruang dan menerima bola di dalam kotak penalti dalam video di bawah ini:

Dan ini pula kedudukan Van De Beek yang berada di posisi bahu pertahanan, mirip kepada seorang no.9 secara semulajadi.

Selain daripada pemposisian yang bagus, beliau juga seorang pemain yang kreatif.

Di mana beliau menikmati musim yang cemerlang pada musim lalu. Terlibat dalam 21 gol secara langsung, dengan 10 gol dan 11 assist sebagai pemain tengah.

Jadi, Van De Beek adalah pemain yang efektif sebagai no.8 dan juga nombor 10.

“Unlock” Pogba

Tiba ke titik perbincangan, kenapa Van De Beek adalah pembelian untuk mengeluarkan yang terbaik daripada Paul Pogba.

Mourinho sebelum ini menandatangani Fred dan Matic. Motif utama beliau adalah untuk mengeluarkan yang terbaik daripada Pogba. Namun Mourinho dan Pogba kemudian tidak sehaluan.

Ketika Solskjaer menggalas tugas sebagai pengurus tetap, beliau menjadikan Bruno Fernandes sebagai sasaran utama.

Jelas sekali Solskjaer mahu melakukan perkara yang sama iaitu untuk membantu mengeluarkan yang terbaik daripada Pogba.

Sebab itu, berkali kali Solskjaer menyatakan, pembelian Bruno bukan kerana mereka nak menjual Pogba, sebaliknya untuk mencari gandingan dengan Pogba.

Dan kini Van De Beek dibawa masuk. Ianya juga sama. Secara tak langsung United sudah membelanjakan sekitar £200 juta untuk membentuk gandingan dengan Pogba.

Cristiano.Ronaldo.Paul_.Pogba_

Dengan keserasian di antara Pogba dan Bruno sudah tercipta, United membawa masuk Van De Beek yang lebih ofensif.

Jika Van De Beek diturunkan beliau akan menjadi pemain tengah yang mampu menerima hantaran hollywood Pogba di dalam kotak penalti dan menyebarkannya kepada pemain lain, ataupun melakukan penyudah akhir.

Jika Van De Beek di bangku simpanan, beliau akan memberikan persaingan kepada Pogba secara posisi.

Bruno Fernandes sudah pasti akan memahatkan namanya sendiri di dalam posisi. Dan Pogba memerluka seorang pemain yang boleh memberikannya persaingan.

Van De Beek masih muda dan dia boleh menjadi pesaing serta gandingan kepada Pogba di dalam padang.

Prestasi Pogba di Perancis adalah idaman Man United. Mereka mahukan Pogba yang sama di Man United secara konsisten.

Pembentukan trio Pogba-Bruno-Donny?

Jadi, adakah trio ini akan mampu membentuk gandingan bersama? Secara mentaliti, ketiga tiganya akan membentuk gandingan terlalu ofensif. Kecualilah Pogba mahu menjadi no.6 seperti mana dia bermain era Mourinho.

Tetapi pemain seperti Pogba, semakin dia ke bawah semakin kurang pengaruhnya di atas padang. Dan semakin ‘advance’ dia ke atas, semakin banyak manfaat boleh United dapat daripada beliau.

Fred, Matic dan McTominay masih boleh menarik nafas lega. Kerana inilah sebabnya mereka masih berpotensi menjadi sebahagian pasukan di tengah.

Van De Beek menambahkan squad depth

Selain daripada mengeluarkan potensi Pogba, Van De Beek juga boleh menjadi pengganti kepada Pogba jika pemain itu tak dapat diturunkan dan datang semula ‘angin’ dia mahu keluar. Tapi harap itu tidak berlaku lah kan?

Pada masa yang sama, Van De Beek boleh menggantikan Bruno Fernandes apabila pemain itu tidak boleh diturunkan.

Pasukan yang bagus adalah memiliki pemain kedua yang kualitinya tak terlalu jauh berbanding pemain utama. Itu yang boleh dihadirkan Van De Beek.

Namun semua ini masih pada teori berdasarkan reputasi beliau di Ajax. Di Man United adalah ‘different ball game’ dan tugas Ole Gunnar Solskjaer membantu membentuk pasukan dan membangunkan Van De Beek.