Malaysia menang 4-1 ke atas Bangladesh untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan akhir Piala Asia. Yang pertama selepas 2007 dan yang pertama daripada pusingan kelayakan selepas 1980.
Aksi profesional
Ini adalah rumusan terbaik tentang aksi Malaysia. Mereka melayan Bangladesh dengan profesional. Tidak mengambil mudah perlawanan ini.
Misi utama mereka adalah untuk menang. Dan kali ini fokus untuk menang itu dari minit pertama sehingga minit ke-90.
Jika ada yang berkata, ‘cuma Bangladesh’. Sebenarnya Malaysia kerap mengalami sindrom hilang fokus dalam perlawanan yang dianggap boleh menang.
Malaysia tidak membunuh lawan mereka dengan gol lebih banyak. Kerana matlamat utama adalah untuk menang dan 3 mata. Itu paling penting.
Oleh sebab itu Kim Pan Gon tidak terlalu memikirkan jumlah gol yang banyak. Lebih kepada mengarahkan pemainnya kekal dalam disiplin taktikal.
Corbin Ong dan sistem overloading
Corbin Ong dan Matthew Davies memiliki dua karakter berbeza. Davies sukakan hantaran awal. Corbin suka menyerang dan melakukan hantaran lewat.
Dalam perlawanan ini, Corbin Ong bermula dengan sangat intensif dan memberikan segala masalah yang tidak dimahukan dan segala masalah yang dijangka oleh Bangladesh.
Dia menjadi pencetus ancaman awal. Dia mencipta 3 peluang dalam 15 minit pertama dan melakukan 2 percubaan bahaya pada awal perlawanan.
Dengan permainan yang sangat ofensif dan menekan dari sebelah sayap bawah Malaysia ini, membolehkan pemain sayap seperti Faisal Halim masuk ke dalam koridor half space untuk membentuk unit serangan yang lebih ramai.
Sistem ini disebut overloading kawasan kotak penalti.
Ini adalah struktur serangan Malaysia setiap kali Corbin naik ke zon yang setara dengan barisan lapisan kedua serangan di belakang no.9.
Ini antara idea yang mereka cuba lakukan. Azam atau Syamer akan cuba melindungi zon yang ditinggalkan Corbin. Kerana mereka mahu melepaskan Corbin setinggi yang mungkin, seawal yang mungkin.
Lihat kedudukan Faisal Halim, dia terus bergerak di half space dan membenarkan Corbin Ong untuk menggunakan / occupied zon dia.
Bangladesh tidak ada ruang bernafas kerana sistem ini. Dan ianya juga punca mereka melakukan kesilapan lalu memberikan penalti kerana pemain pemain Malaysia sentiasa menekan mereka secara beramai ramai.
Bertahan bola mati dan bola tinggi masih merisaukan
Malaysia masih sangat merisaukan dalam aspek bertahan ketika bola mati. Tak kira daripada situasi sepakan percuma ataupun lontaran ke dalam.
Aspek bertahan berdepan hantaran lintang juga masih menjadi masalah Malaysia. Jika dalam aksi berdepan Bahrain sebelum ini, Malaysia melepaskan 2 gol kerana kegagalan bertahan ketika bola lintang.
Kali ini Bangladesh pun masih mampu berjaya dan sempat meraikan detik manis menyamakan kedudukan daripada situasi bola mati dan hantaran tinggi.
Hilang fokus selepas menjaringkan gol sentiasa menjadi penyakit Malaysia.
GOL! 31' Ibrahim
MAS 1 – 1 BAN#MASBAN pic.twitter.com/TU98mJPtvw
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) June 14, 2022
Mujur kali ini Malaysia berjaya respon dan menyumbat 3 gol lagi. Namun harus diingat, jika kita berdepan dengan lawan lebih kuat, mungkin kita tidak akan diberikan kesempatan untuk bangkit.
Rumusan
Malaysia memenangi perlawanan ini kerana lebih baik dalam semua perkara. Ini termasuk kondisi fizikal. Bangladesh kelihatan memiliki ramai pemain yang tidak berada dalam kondisi fizikal yang baik.
Kredit juga kepada sains sukan di negara kita yang lebih baik daripada negara seperti Bangladesh. Aspek ini benar benar membezakan kualiti teknikal, termasuk fizikal dan stamina.
Seterusnya kali ini Malaysia beraksi dengan kerajinan dan etika yang sama sepanjang 90 minit. Tiada pemain yang menjadi penumpang sama ada dari kesebelasan utama ataupun daripada bangku simpanan.
Sebelum ini Malaysia berdepan masalah seperti pertukaran pemain memberikan impak kepada corak intensiti.
Kim Pan Gon kali ini berjaya mengelakkan masalah yang sama daripada berulang.
Seterusnya respon selepas membuat kesilapan adalah sangat baik. Malaysia beraksi lebih direct kali ini. Tidak terlalu berlengah dengan bola. Dion Cools juga banyak mencetuskan ancaman awal daripada hantaran terus dari bawah.
Sekali lagi Malaysia membuktikan bahawa sistem dengan fluiditi dan pergerakan yang banyak di antara pemain serangan lebih sesuai dengan kita berbanding sistem target man klasik yang sekadar menunggu.
Syabas Malaysia. Game sedap!