Pengurus Arsenal baru baru ini, Mikel Arteta telah menghentam penjadualan EPL melibatkan pasukan Arsenal yang disiftatkannya sebagai tidak adil dan menindas.

Arteta tidak berminat untuk bercakap tentang jadual pasukan lain, kerana menurutnya, dia hanya menjaga isu berkaitan Arsenal sahaja.

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta merasakan pasukannya telah dilayan secara tidak adil oleh Liga Perdana Inggeris dengan diberikan jadual perlawanan yang sesak.

Bulan depan pasukan utara London itu akan menghadapi satu lagi jadual sangat padat dan getir apabila mereka akan menentang Chelsea dan Manchester United dengan jarak masa tiga hari.

Jadual yang padat itu menyebabkan jurulatih itu tidak berpuas hati dan secara sinis mengucapkan terima kasih kepada Liga Perdana Inggeris kerana memberi mereka kalendar yang begitu sibuk.

“Terima kasih banyak kepada Liga Perdana kerana berbuat demikian,” kata Arteta kepada pemberita selepas kekalahan kepada Liverpool.

“Dan mereka telah melakukannya sekali lagi apabila kami perlu menentang Chelsea dan Manchester United [selepas ini].”

Perlawanan menentang United akan menjadi perlawanan penting dalam persaingan kedua dua pasukan merebut 4 teratas.

“Jadi jika mereka mahu memberi mereka sebarang kelebihan, saya katakan kepada mereka hari ini: ‘Terima kasih banyak kerana melakukan itu’.”

Dia menambah: “Tidak [Liga Perdana tidak akan mengubah jadual]. Ia sentiasa mengutamakan BT, ia Sky, ia adalah begini, dan ia adalah begitu.”

“Tetapi yang terjejas adalah Arsenal dan satu-satunya perkara yang saya ambil berat dan kami yang kami kisahkan adalah Arsenal. Dan untuk Arsenal ianya [jadual tersebut] tidak adil.”

Kenyataan oleh Arteta itu telah dibidas oleh Antonio Conte. Di mana pengurus Spurs itu mengingatkan Arteta bahawa Arsenal sendiri yang meminta penangguhan perlawanan sebelum ini melibatkan Spurs pada ketika itu.

Sedangkan beberapa hari sebelum itu Spurs dinafikan permintaan untuk menangguhkan aksi berdepan Leicester. Perlawanan hanya ditangguhkan kerana Leicester yang meminta kemudian.

Conte berkata: “Saya cuma mahu Arteta ingat kembali perlawanan di antara Tottenham dan Arsenal yang ditunda [atas permintaan Arteta]. Jawapan saya cukup, jika seseorang bercakap tentang soal ketidakadilan. Saya tak akan lupa perkara ini.”

“Saya tak suka bercakap soal adil atau tidak adil.”

Menurut analisis The Athletic, Arsenal merupakan salah satu pasukan daripada 12 pasukan yang memiliki purata rehat 5 hari untuk setiap perlawanan. Paling tinggi purata rehat adlaah Newcastle dengan 5.61 hari berbanding Arsenal 5.09 hari.

Ada 6 pasukan lagi dengan jumlah rehat sekitar 4 hari iaitu Brentford, Southampton, Manchester United, Manchester City, Tottenham dan West Ham.

Hanya ada 2 pasukan paling sedikit rehat ketika ini dengan purata di bawah 4 hari iaitu Liverpool dan Chelsea.