Selepas calon pilihan Persatuan Bolasepak Jajahan (PBJ) untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Bibi Ramjani Ilias Khan sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sanggup melaburkan wang sebanyak RM3 Juta untuk melangsaikan hutang persatuan itu, seorang lagi individu yang berminat untuk menjadi Presiden KAFA, Datuk Seri Amril Aiman Abd Aziz turut menyuarakan hasrat yang sama.
Amril mengakui beliau sedia untuk membersihkan KAFA yang sebelum ini dilanda dengan pelbagai krisis seperti isu tunggakan gaji pemain.
“Saya tahu apa yang bakal saya tempuh sekiranya dipilih sebagai Presiden KAFA dan pasukan saya dibawa masuk ke dalam KAFA.
“Ini adalah tanggungjawab perlu digalas presiden serta barisan kepemimpinan yang baharu. Jika ada perkara perlu diselesaikan segera, kita akan dahulukan dan mana yang perlu dibincangkan atau dibatalkan, kita akan cuba berusaha ke arah itu.
“Agenda utama saya akan untuk mengembalikan prestasi Kelantan selain beberapa lagi perkara berkaitan. Apapun, saya dan pasukan saya bersedia untuk bekerja demi bola sepak Kelantan dan juga demi KAFA,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Calon Presiden KAFA Tiada Masalah Laburkan RM3 Juta https://t.co/EqsryVn4lR
— VOCKET FC (@vocketfc) June 21, 2019
Sebelum ini, Yang Dipertua PBJ Tanah Merah, Kamarudin Mohamad menegaskan seorang individu bergelar Datuk yang juga anak jati Kelantan itu sudah menyatakan persetujuan untuk menerajui KAFA sekaligus melangsaikan segala hutang yang membelenggu persatuan itu.