Penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin semakin menunjukkan perkembangan yang positif apabila dilihat kerap diturunkan dalam beberapa perlawanan pra musim bersama kelabnya, KV Kortrijk baru-baru ini.
Walaupun diturunkan sebagai pemain gantian, namun Luqman telah menerima pengalaman yang berguna sepanjang kem pra musim di Belanda sebagai persiapan menghadapi musim baharu Liga Belgium.
Perkembangan itu turut menggembirakan jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe yang menyifatkan pendedahan tersebut mampu mematangkan lagi corak permainan Luqman.
“Inilah pentingnya untuk Luqman mendapatkan lagi minit permainan bersama kelabnya. Jika kerap diturunkan sama ada sebagai pemain gantian ataupun utama, Luqman akan meraih pengalaman berguna untuk dirinya.
“Dia seorang pemain yang berusaha keras dan ada keistimewaan, saya yakin dia akan jadi lebih baik dari semasa ke semasa dan itu beri kebaikan bukan saja untuk dirinya, tetapi juga pasukan kebangsaan apabila ada tugasan antarabangsa,” katanya kepada Arena Metro.
Pada 4 Julai lalu, pemain yang berusia 19 tahun itu telah membantu kelabnya menewaskan Club Brugge, 1-0. Walaupun dimasukkan pada minit akhir perlawanan, kelincahannya di atas padang berjaya mengucar kacirkan benteng pertahanan lawan.
Beliau turut membantu KV Kortrijk mencatat kemenangan besar ke atas KRC Harelbeke, 5-0 dengan menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke 86.
“Kalau dia terus konsisten dan tunjukkan sikap positif dalam perlawanan mahupun pada luar latihan, tak mustahil jurulatih kelab dia akan beri peluang kepada Luqman untuk bermain apabila liga di sana bermula nanti,” tambah Cheng Hoe.
Kortrijk akan menghadapi satu lagi perlawanan persahabatan menentang juara Ligue 1 Perancis, Lille OSC pada hari sabtu ini. Luqman dijangka akan disenaraikan dalam barisan pemain simpanan sebagai medan untuk menguji kemampuannya berdepan lawan yang kuat.
Baca artikel lain mengenai perkembangan Luqman melalui pautan dibawah.
Luqman Hakim Bantu KV Kortrijk Belasah KRC Harelbeke Dalam Aksi Pemanas Badan
KV Kortrijk Tewas Pada Aksi Terakhir Liga, Luqman Sekadar Duduk Di Bangku Simpanan