Aksi penyokong Terengganu FC (TFC) ketika perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia 2023 menentang KL City pada jumaat lepas di Stadium Sultan Mizan mula mendapat perhatian media antarabangsa.

Lebih 25,000 penyokong yang telah hadir bersatu hati mengangkat  bendera Palestin serta kain rentang sebagai tanda solidariti terhadap usaha pembebasan negara itu daripada Israel sebelum perlawanan bermula.

Lagu ‘Demimu Palestin’ turut dinyanyikan penyokong di dalam stadium selain melaungkan slogan bagi menunjukkan sokongan padu terhadap Palestin.

Rakaman video aksi penyokong TFC itu tular di media sosial sehingga menarik perhatian agensi media Palestin, Quds News Network sekaligus mendapat pujian daripada warga maya dari seluruh dunia.

Sehingga artikel ini ditulis, video tersebut mendapat tontonan lebih 200,000 dan dikongsi lebih 4,000 orang menerusi laman X.

Rakyat Palestin ketika ini berdepan krisis ‘pembunuhan beramai-ramai’ selepas serangan berterusan tentera rejim zionis Israel.

Pihak Terengganu FC Sdn Bhd, (TFCSB) menyatakan, usaha tersebut merupakan simbolik kepada situasi yang berlaku di Palestin atas dasar kemanusiaan dan keamanan sejagat.

Selain itu, TFCSB dengan kerjasama Urus Setia Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu Sejahtera (UBSNT) turut mengadakan kutipan derma buat Palestin dengan menyediakan tabung di pintu-pintu masuk stadium.

Tidak lupa juga, pihak stadium menyediakan 12 ruang solat di kawasan tempat duduk terbuka sebagai tambahan surau yang terdapat di luar stadium dalam memastikan rakyat negeri itu tidak mengabaikan kewajipan solat sepanjang perlawanan.

Pada perlawanan itu, Terengganu FC mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 setelah menyingkirkan KL City FC dengan kemenangan 2-1 hasil jaringan berganda penyerang kelahiran Croatia, Ivan Mamut.

Mereka bakal bertemu juara Liga Super dan Piala FA 2023 iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) di perlawanan akhir pada tarikh yang akan diumumkan kelak.