Tiada tekanan buat Kuala Lumpur City FC (KL City) yang turun dengan status underdog manakala Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak mahu terlalu yakin yang mereka mampu pertahankan kejuaraan TM Piala Malaysia dengan mudah.
Malah, kedua-dua pengendali pasukan, Bojan Hodak dan Benjamin Mora menghormati kredilibiti serta kemampuan masing-masing menjelang perlawanan akhir TM Piala Malaysia 2021 di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Selasa.
Ketua jurulatih KL City, Bojan Hodak berkata, mereka di tahap motivasi tertinggi menjelang pentas final TM Piala Malaysia 2021 sambil menyifatkan tekanan tidak berada di pihak mereka berbanding JDT.
Beliau mahu pemain lupakan soal keletihan setelah mengharungi aksi yang padat pada saingan TM Piala Malaysia dan berikan segala-galanya
“Diharapkan aksi esok akan menjadi perlawanan yang sengit walaupun kedua-dua pasukan agak keletihan terutama kami yang tidak punyai skuad yang besar seperti mereka malah kami hanya ada empat pemain import.
“Namun saya tetap mengharapkan pemain dapat berikan aksi maksimum di atas padang dan tiada sebarang tekanan kepada kami kerana JDT ada segala-galanya seperti pemain dan kemudahan yang lebih baik.
“Dalam perlawanan esok, jika mereka tidak menjaringkan gol pada awal permainan, tekanan akan berpihak kepada mereka dan mungkin secara perlahan-lahan kami akan lebih yakin mencipta sesuatu,” katanya.
Bagi Mora, beliau memandang tinggi KL City yang dianggap sukar dijinakkan berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan di Liga Super apabila mereka sekadar menang tipis 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim selain seri 1-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.
“Sejarah pertemuan tidak boleh disorok namun itu hanya satu memori kerana dua perlawanan itu cukup berbeza dengan apa yang bakal ditempuh pada 95 minit secara keseluruhan di atas padang esok.
“Kita tahu sejak Bojan mengambil alih Kuala Lumpur, segalanya tampak berubah dan pasukan KL nyata begitu tersusun dalam soal taktikal serta cukup baik pada situasi bola mati.
“Dua perlawanan yang lalu memang sukar kerana mereka ada pemain yang bagus dan saya jangkakan aksi final esok pasti menjadi perlawanan yang sukar,” katanya.
Baca artikel lain mengenai perkembangan TM Piala Malaysia 2021 melalui pautan dibawah.
Final Piala Malaysia 2021: Hanya 9,000 Tiket Diperuntukkan Untuk Penyokong JDT Dan KL City
Piala Malaysia 2021: Tiga Jaringan Pantas Pastikan JDT Bergaya Ke Final
Piala Malaysia 2021: Penantian Ke Final Kuala Lumpur City Dinoktahkan
MKN Kekal Dengan Keputusan Tidak Benarkan Penyokong Makan Dan Minum Di Dalam Stadium