Pertengkaran antara jurulatih Perak, Datuk Lim Teong Kim dengan pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman ketika aksi Liga Super semalam menarik perhatian peminat bola sepak tempatan.

Artikel Berkaitan:

Insiden tersebut berlaku pada minit ke 74 ketika JDT mendahului dengan keputusan 4-0.

Menerusi rakaman video yang tular di media sosial, ianya berlaku apabila bola terkeluar daripada garisan. Lim Teong Kim kemudian mengutip bola tersebut lalu membaling semula ke arah Arif Aiman dengan pantas.

Situasi tersebut menyebabkan Arif Aiman tidak puas hati kerana balingan itu cukup kasar dan hampir mengenai kepalanya.

Penyerang import JDT, Bergson Da Silva turut masuk campur sekaligus menyebabkan pertengkaran dilanjutkan sehingga Lim Teong Kim dilayangkan kad kuning oleh pengadil.

Peminat bola sepak tempatan memberikan pelbagai reaksi terhadap insiden ini dan berpendapat ia tidak sepatutnya berlaku apatah lagi kedua-duanya pernah bersama ketika berada dalam Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Lim Teong Kim pernah membawa Arif Aiman ketika Kejohanan Bola Sepak Remaja Iber Cup Costa del Sol 2015 bersama tiga lagi penyerang ke Sepanyol antaranya penyerang sensasi, Luqman Hakim.

Berdasarkan rekod, Arif Aiman berada dalam Akademi Mokhtar Dahari (AMD) sehingga umur 16 tahun namun gagal menembusi skuad utama yang dikendalikan Lim Teong Kim.

Oleh sebab itu, keluarganya membuat keputusan untuk mencuba jalan lain dan JDT adalah pasukan pertama yang berminat untuk mendapatkan khidmat pemain itu.

Selepas beberapa tahun bersama JDT, Arif Aiman menunjukkan perkembangan yang luar biasa dan kini menjadi tonggak penting skuad Harimau Selatan.

Manakala Perak yang dibimbing oleh Lim Teong Kim tewas 0-5 kepada JDT dan kini berada di tangga ke 10 Liga Super dengan hanya 5 mata.