Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dilaporkan sudah memiliki beberapa calon untuk mengisi jawatan Pengarah Teknikal Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang kosong hampir setahun.
Baca Juga:
- Lim Teong Kim Bantah Cadangan MSN Tetapkan Tanda Harga Kepada Pemain Akademi Mokhtar Dahari
- Akademi Mokhtar Dahari Diberikan Penarafan 2 Bintang Oleh AFC
- Dua Bekas Pelatih Akademi Mokhtar Dahari Catat Kejayaan Cemerlang Dalam SPM 2019
Jawatan itu sebelum ini disandang oleh Dennis Bekking dari Belanda yang kini memegang jawatan Pengarah Teknikal Selangor FC.
Bagaimanapun, laporan daripada Berita Harian mendedahkan kekosongan terbabit kemungkinan diisi oleh pakar dari Denmark yang akan menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Teknikal AMD baharu.
“Proses pengambilan pengarah teknikal perlu dipercepatkan kerana terdapat keperluan untuk individu yang menyandang jawatan itu menyelaraskan program di bawah bidang kuasa AMD.
“Saya tidak pasti bila individu berkenaan akan dilantik namun terdapat desas-desus mungkin bulan depan akan mula bertugas di AMD,” katanya.
AMD yang menjalankan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) diberikan penarafan 2-Bintang dibawah Skim Belia Elit Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Skim Belia Elit AFC ini merupakan langkah utama dalam pembangunan bakat yang akan membantu Ahli-Ahli Gabungan AFC untuk mengembangkan lagi program peringkat belia di negara masing-masing.
Antara kriteria yang akan dinilai termasuk mengenai staf, perancangan, pertandingan, kejurulatihan, pencarian bakat, perkhidmatan perubatan, sains sukan, pendidikan & kebajikan, kemudahan, falsafah dan akademi.
Tahun lalu timbul khabar angin di media sosial mengatakan AMD yang terletak di gambang, Pahang akan ditutup buat selama-lamanya termasuk pembubaran Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN).
Perkara ini timbul apabila terdapat pihak cuba melobi supaya program tersebut ditutup sekaligus menimbulkan kemarahan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.
Namun begitu, FAM menafikan khabar angin tersebut dan menegaskan badan induk bola sepak negara sentiasa mengutamakan pembangunan akar umbi.