Bekas peledak berbisa Manchester City, Sergio Aguero mempersoalkan tindakan kelab tersebut yang bertindak melepaskan Raheem Sterling ke Chelsea pada jendela perpindahan musim panas ini.
Beliau menganggap Manchester City yang dibimbing Pep Guardiola itu telah melakukan keputusan pelik berhubung perkara tersebut.
Selama tujuh musim menyarung jersi The Cityzens sejak berhijrah dari Liverpool pada musim 2015/16, Sterling berjaya menjaringkan 131 gol sekali gus menjadikannya sebagai penjaring kedua terbanyak sepanjang zaman buat Manchester City dibelakang Aguero.
Dengan pelbagai kejayaan domestik dimenanginya, pemain berusia 27 tahun itu dibenarkan untuk menyertai Chelsea dengan yuran perpindahan bernilai £50 juta, pada bulan lalu.
“Saya tidak memahami mengapa Manchester City menjual Sterling. Terdapat beberapa kali mereka akan membuat keputusan yang pelik,” ujar Aguero menurut laporan Goal.
“Terdapat keputusan untuk kelab dan juga keputusan untuk pemain. Saya mengatakannya dari hari pertama sampai di sana dimana anda perlu di tempat yang anda mahukan.”
“Raheem Sterling telah melakukannya dengan cukup luar biasa dan sukar dijangka. Saya melihat cita-citanya untuk menjaringkan lebih banyak gol dan bantuan jaringan semakin meningkat.”
“Saya akan mengatakan impak untuk cara dia bermain dan tidak pernah mengalami kecederaan adalah yang terbaik,” tambah Aguero lagi.
Selain menjual Sterling, Manchester City yang bakal menyandarkan harapan buat Erling Haaland dan Julian Alvarez untuk mengepalai jentera serangan turut melepaskan Gabriel Jesus ke satu lagi kelab London, Arsenal.
Ini juga bermakna, Pep Guardiola telah kehilangan kombinasi dua pemain yang telah menjaringkan 226 gol (95 gol dijaringkan Gabriel Jesus) buat Manchester City.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia melalui pautan dibawah.