Malaysia terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas terikat tanpa jaringan bertemu Singapura pada aksi kedua Kejuaraan AFF Bawah 19 Tahun (B-19) yang berlangsung di Stadion Madya, Senayan, Jakarta sebentar tadi.
Dilihat lebih menguasai permainan, anak buah Hassan Sazali Waras itu bagaimanapun tidak banyak menjelmakan serangan yang benar-benar berbahaya ke arah pintu gol Singapura.
Malah, penjaga gol Singapura, Firman Nabil Mohd Faizal turut mempamerkan ketangkasannya dalam menafikan dua percubaan pada babak pertama bagi menghalang gawangnya daripada dibolosi.
Firman cemerlang menghalang percubaan dari jarak dekat dilakukan Muhammad Haikal Sahar pada minit ke-11 ketika pertahanan Singapura gagal untuk mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya.
Berselang enam minit kemudian, giliran skuad kendalian Mohamed Fadzuhasny Juraimi pula memberikan ancaman tetapi percubaan jarak jauh dilakukan ketua pasukan, Khairin Nadim Rahim sekadar melewati palang gol.
Memasuki minit ke-23, Firman sekali lagi menjadi penghalang kepada skuad negara untuk mendapatkan jaringan apabila beliau dengan tenang menafikan rembatan Muhammad Haqimi Azim Rosli dalam kawasan penalti.
Singapura turut terlepas peluang terbaik untuk mencipta jaringan pendahuluan selepas dua percubaan berturut-turut dijelmakan oleh Raoul Suhaimi dan Khairin Nadim pada minit ke-67 diselamatkan penjaga gol, Zulhilmi Sharani.
Kemasukan pemain kacukan, Abdul Rahman Daud Azizol dan Omar Raiyan Kama Azlan yang diharapkan dapat mengubah kedudukan tidak membuahkan hasil untuk kedua-dua pasukan berpuas hati dengan satu mata.
Dengan keputusan seri yang dicatatkan, Malaysia kini berada di tangga teratas dengan empat mata, berkelebihan satu mata berbanding Laos [kekurangan satu perlawanan], Kemboja dan Timor Leste.
Baca artikel lain mengenai perkembangan Kejuaraan AFF B-19 melalui pautan dibawah.
Analisis Taktikal Malaysia B-19 vs Kemboja B-19: Rigid vs ‘Route One Football’
Omar Raiyan Dipanggil Sertai Kem Latihan Pusat Skuad B-19 Tahun Negara